Dua Peranti Ini Dijual Pada Harga Bawah RM800, Mana Satu Yang Patut Dibeli

Bila menyusuri pasaran telefon pintar, sesetengah daripada kita mungkin pening kepala untuk mencari peranti yang memenuhi kehendak penggunaan dan paling utama bersesuaian dengan bajet dipoket.

Ada yang bertanyakan tentang dua peranti iaitu antara realme 5 dan Vivo Y17, model manakah yang sesuai untuk dimiliki. Kedua-duanya mempunyai harga jualan yang sama iaitu RM 799 dan bagi memudahkan penilaian anda, mari kita lihat satu persatu penawaran yang dibawa kedua-dua model ini.

Reka bentuk serta penampilan luar

 Kita teliti dahulu perkara paling asas iaitu luaran peranti. Kedua-duanya mempunyai binaan panel belakang yang sama iaitu polikarbonat tetapi dibezakan melalui kemasan luarannya. realme 5 menampilkan corak nano holografik dengan dua pilihan warna iaitu Crystal Blue serta Crystal Purple.



Sementara itu, Vivo Y17 pula mengetengahkan corak gradient dengan tawaran warna Mystic Purple dan Mineral Blue. Bahagian ini agak subjektif untuk diperkatakan dimana masing-masing mempunyai sisi elegan yang mahu diketengahkan.



Dari pengalaman menggunakannya sebelum ini, realme 5 dirasakan lebih selesa dipegang oleh kerana rekaan sisinya melengkung berbanding Vivo Y17 yang terasa agak petak. Perbezaan bahagian belakang juga boleh dilihat pada barisan kamera yang diletakkan pada penjuru kiri. realme 5 mempertaruhkan kuad kamera terdiri daripada 12MP+8MP+2MP+2MP dan Vivo Y17 pula hanya dengan kombinasi lensa 13MP+8MP+2MP.

Bahagian hadapan tidak mempunyai perbezaan ketara dimana ia hampir mirip antara satu sama lain dengan takuk kecil ditengah-tengah, kecuali saiz paparan LCD realme 5 lebih besar iaitu 6.5 inci manakala Vivo Y17 mengenakan paparan LCD 6.35 inci.

Komponen yang menguasakan peranti

Kedua-dua peranti mempunyai beberapa konfigurasi memori, tetapi bagi tanda harga RM799, realme 5 disediakan dengan RAM 4GB/128GB dan Vivo Y17 dengan padanan RAM 4GB/64GB. Kelebihan disini terletak pada penawaran realme 5 dengan tawaran kapasiti storan yang lebih besar.



Cip pemprosesan yang menjana realme 5 adalah Snapdragon 665 dan Vivo memilih MediaTek Helio P35 untuk menguasakan model Y17. Apa yang boleh dikatakan, Snapdragon 665 ini antara cip yang terbaik untuk paras harga ini. Cip Helio P35 pula agak jarang kita lihat pada penawaran telefon pintar terkini dan perlu diingatkan juga, Vivo Y17 sudah berada hampir 5 bulan didalam pasaran kita.



Penggunaan harian biasa seperti melayari internet, aplikasi media sosial tidak mendatangkan masalah untuk kedua-dua peranti tetapi apabila menjalankan permainan mudah alih yang agak berat, tugas ini digalas lebih baik pada Snapdragon 665. Jika diberi pilihan, rata-rata daripada kita pastinya akan memilih Snapdragon 665 berbanding Helio P35.

4 kamera vs 3 kamera

Seperti yang telah dinyatakan diatas, tetapan kamera antara keduanya berbeza. Lensa yang digunakan pada realme 5 adalah 12MP lensa utama, 8MP sudut lebar, 2MP lensa depth dan 2MP lensa makro.



Tiga kamera Vivo Y17 pula membariskan 13MP lensa utama, 8MP sudut lebar dan 2MP lensa depth. Sekali lagi kelebihan pada realme 5 dengan penggunaan lensa makro serta terdapatnya ciri rakaman mod malam NightScape.



realme 5 dan Vivo Y17 berjaya menghasilkan gambar yang memuaskan tetapi mata kami lebih terarah kepada realme 5. Peranti realme menampakkan warna yang lebih semula jadi sementara hasil foto Vivo Y17 kadang-kadang kelihatan agak over exposed.

Contoh gambar Vivo Y17



Contoh gambar realme 5



Ciri-ciri lain

Kedua-dua telefon pintar ini mempunyai persamaan iaitu kapasiti bateri 5000mAh dan tidak perlu khuatir dimana ia mampu bertahan sepanjang hari. Pun begitu, dari segi pengecasan pula, realme 5 hanya mendatangkan pengecasan 10W tetapi kelebihan bahagian ini diberi pada Vivo Y17 dengan pengecasan pantas Dual Engine Fast Charging 18W.

Imbasan biometrik iaitu berasaskan wajah dan cap jari bagi realme 5 dan Vivo Y17 juga tidak menghampakan dengan pantas menyahkunci skrin paparan.

Nak pilih yang mana?

Apa yang boleh disimpulkan, penawaran realme 5 nampak lebih berbaloi dimiliki pada harga RM799 jika dibandingkan dengan Vivo Y17.



Namun sekiranya anda tidak kisah dengan beberapa kekurangan dan mahukan daya pengecasan lebih pantas, Vivo Y17 boleh dipilih. Sekarang jika anda mempunyai RM700, mana satu yang mungkin disambar?