DJI Mavic 2 Hadir Dengan Sensor Yang Lebih Baik, Sokongan Zoom Optikal

Sebut sahaja berkenaan dron, penggemar teknologi berkenaan pasti mengenali pengeluar terkemuka, DJI atau Dà-Jiāng Innovations. Mereka merupakan pengeluar kepada antara dron terbaik yang pernah dihasilkan sebelum ini iaitu Mavic Pro. Dan baru-baru ini, mereka kembali dengan bukan satu, tapi dua ahli baru dalam siri Mavic iaitu Mavic 2 Pro serta Mavic 2 Zoom.

 



Kedua-dua dron ini hadir dengan ciri dan sokogan yang hampir sama seperti simpanan dalam terbina sehingga 8GB, had masa penerbangan 31 minit, sokongan video 4K serta saiz yang sama. Malah, Mavic 2 Pro dan Zoom ini juga merupakan dron boleh-lipat. Cuma dari segi berat, Mavic 2 Pro adalah 2 gram lebih berat(907g) berbanding Mavic 2 Zoom(905g).



Namun, apa yang membezakan kedua-dua dron ini adalah sensor kameranya. Mavic 2 Pro hadir dengan lensa dengan teknologi rekaan Hasselblad yang menjamin hasil rakaman lebih berkualiti dapat dihasilkan. Sensor yang digunakan juga adalah bersaiz lebih besar dan mempunyai resolusi lebih tinggi (20 MP) berbanding Mavic 2 Zoom(12 MP).



Manakala keistimewaan yang ada pada Mavic 2 Zoom pula adalah pada sokongan fungsi zoom-nya. Sesuai dengan namanya, Mavic 2 Zoom mampu untuk menghasilkan dua kali zoom optikal dan dua kali zoom digital. Dengan ini, ia mampu merakam imej objek dengan lebih dekat berbanding sebelum ini.



Selain itu, kedua-dua dron ini juga mampu terbang pada kelajuan maksimum 44 kmh. Ia akan dijual di pasaran Amerika dengan nilai $ 1,449(~RM 5,955) bagi Mavic 2 Pro serta $ 1,249(~RM 5,132) bagi Mavic 2 Zoom. Tiada sebarang maklumat berkenaan ketibaan dua dron ini ke pasaran Malaysia diperolehi setakat ini.

 

Sumber