"Discover People" Dari Facebook Membolehkan Anda Mencari Kenalan Baru

Facebook dilapor telah membangunkan satu ciri baru yang dikenali sebagai Discover People. Ciri yang dibangunkan itu akan berfungsi untuk memudahkan pengguna mencari kenalan baru sesuai dengan nama ciri tersebut. Ciri ini sangat menarik kerana ia bakal menjadikan Facebook sebagai platform utama bagi rangkaian perniagaan, mencari jodoh dan apa-apa jua tujuan yang dirasakan sesuai.

Discover People terdapat dibawah senarai Friends, Events, Groups, Nearby Places dan opsyen lain dibahagian navigasi. Apabila ditekan, ia akan membawa pengguna kepada paparan yang menyuruh mereka memperkenalkan diri. Ruangan memperkenalkan diri itu melibatkan beberapa perkara seperti gambar profil, dan juga biodata. Setelah selesai mengemaskini ruangan perkenalan diri, barulah pengguna boleh menggunakan ia untuk mencari kenalan baru. Caranya ialah  dengan menyemak pilihan sambungan berdasarkan pelbagai perkara, acara dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, terdapat satu pesta makanan di Shah Alam dan pengguna berminat untuk pergi kesana, mereka boleh mencari kenalan menerusi Discover People dan cuba untuk berinteraksi dengan pengguna lain yang juga pergi ke acara sama. Anda juga boleh mencari kenalan pada acara yang sudah selesai berlangsung seperti majlis perkahwinan sepupu anda yang diadakan minggu lepas. Ataupun mencari kenalan yang berada dikawasan sekitar tempat tinggal anda.

Ciri ini dilihat dibangunkan bertujuan untuk menghubungkan pengguna yang mempunyai minat yang sama ataupun mengunjungi acara yang sama. Menariknya ciri, anda tidak akan terjumpa dengan senarai rakan Facebook sedia ada kerana ia dicipta khas untuk berhubung pengguna yang tidak dikenali. Walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan lagi sama ada ia akan dikekalkan atau sekadar ciri ujian semata-mata kerana Facebook pernah membuang ciri yang tidak sesuai atau tidak mendapat sambutan pengguna.

Ia sememangnya ciri yang menarik dan bagus bagi mengembangkan perniagaan ataupun mencari rakan yang baru tetapi mungkin sedikit membimbangkan dari segi isu privasi. Ini kerana, ia mendedahkan lokasi anda ataupun dimana anda bekerja. Mungkin ada sesetengah pengguna yang berasa kurang selesa untuk memaparkan profil dengan pengguna yang lain.

Aplikasi ini sudah mula terdapat pada platform Android dan juga iOS tetapi masih belum dikeluarkan secara menyeluruh. Mungkin pengguna di Malaysia bakal menikmati ciri ini tidak lama lagi.

Sumber: Itechpost