Disangka Cip Pemprosesan Baharu, Rupanya A12Z Bionic Pada iPad Pro 2020 Hanyalah Cip A12X Bionic Sahaja

Antara perkara yang menarik perhatian saya pada iPad Pro 2020 yang baru sahaja dilancarkan pada minggu lalu adalah ia menggunakan cip Apple A12Z Bionic. Cip ini jika mengikut penamaannya, ia belum pernah lagi digunakan pada mana-mana peranti sebelum ini. Jadi, tanggapan peminat gajet dan juga kebanyakan orang adalah cip ini merupakan cip baharu yang lebih berkuasa berbanding pada cip Apple A12X Bionic pada iPad Pro 2018.



Namun hari ini, kita dapat mengetahui dan mendengar laporan bahawa cip yang digunakan pada iPad Pro 2020 itu sebenarnya bukanlah cip yang baharu. Tetapi sebenarnya hanyalah cip A12X yang sama tetapi dengan satu penambahan jumlah teras GPU aktif sahaja.

Pendek kata, cip pemprosesan pada A12X sebelum ini sememangnya terdapat 8 teras GPU di dalamnya. Namun, salah satu teras GPU tersebut telah dinyahaktif dan hanya 7 sahaja teras GPU yang beroperasi. Jadi, teras yang dinyahaktif itu telah 'dihidupkan' pada model iPad Pro 2020 dan diberi nama A12Z.

Secara keseluruhannya, prestasi CPU A12Z dan A12X adalah sama dan hanya dibezakan pada prestasi GPU kerana A12Z mempunyai jumlah teras aktif GPU yang lebih banyak walaupun kedua-duanya secara fizikal mempunyai jumlah teras GPU yang sama.

Kapsyen: iPad Pro 2020 (A12Z, Oren) dan iPad Pro 2018 (A12X, Biru) - wcftech.com


Persoalannya, mengapa Apple menyahaktif salah satu teras pada A12X jika sememangnya mereka tidak mahu gunakan teras tersebut? Mengapa tidak reka sahaja cip A12X dengan 7 teras GPU sahaja, bukannya 8?

Terdapat beberapa penjelasan dan spekulasi berkenaan mengapa Apple membuat keputusan sebegini. Untuk makluman, untuk sesebuah cip itu sama ada CPU ataupun GPU untuk dihasilkan sebagaimana apa yang pengeluar mahukan adalah bukan perkara yang 100% dapat. Seperti contoh, jika Intel mahu menghasilkan sejumlah cip Intel Core i7, bukan semua cip tersebut 'elok' untuk dijadikan sebuah cip i7 kerana akan ada cip yang mempunyai teras yang rosak.

Jadi cip i7 yang rosak ini akan diturunkan pangkatnya menjadi sebuah cip i5 ataupun i3. Maksud lainnya juga adalah kebiasannya cip i3/i5 merupakan cip i7 yang tidak memenuhi jangkaan operasi dan juga teras yang dinyahaktif.

Kadar Produksi Cip


Ini adalah apa yang dipanggil dalam industri pembuatan cip sebagai kadar produksi (yield rate). Kadar produksi adalah sangat dirahsiakan pengeluar cip kerana ia diibaratkan seperti ukur aras prestasi pengeluaran cip syarikat tersebut. Sebagai contoh, dikhabarkan Intel mempunyai kadar produksi sebanyak 60% yang bermaksud hanya 60 daripada 100 cip yang akan berfungsi seperti dimahukan.

Untuk 40 cip lagi, daripada membuangnya keseluruhan cip, pengeluar tidak mahu membazir jadi mereka menggunakannya sebagai cip yang kurang berkuasa. Maka jadilah seperti kes i3/i5 tersebut.

Dalam industri GPU pun sama juga. Baru-baru ini GamerNexus mendedahkan bahawa NVIDIA RTX 2060 KO sebenarnya adalah RTX 2080 yang tidak 'elok'. Ia adalah perkara yang normal sebenarnya dalam industri pembuatan cip. Apabila produksi cip yang baharu dimulakan, akan pasti ada kesilapan yang menjadikan kadar produksi yang rendah terutamanya untuk cip yang mempunyai prestasi tinggi. Semakin lama, pengeluar cip lebih matang melalui pengalaman dan kepakaran, jadi kadar produksi akan menjadi lebih tinggi.

https://twitter.com/SnazzyQ/status/1243356758006890496

Signifikan Apple Nyahaktif Salah Satu Teras


Untuk kes Apple, ketika menghasilkan cip A12X, kadar produksi untuk menjadikan cip tersebut dengan 8 teras GPU adalah sangat rendah. Jadi mereka hanya 7 teras sahaja yang boleh beroperasi. Namun, dengan kadar teknologi dan kepakaran yang semakin bertambah, kadar produksi lebih meningkat, jadi baru sekarang kelapan-lapan teras GPU tersebut boleh diaktifkan untuk diletakkan pada model iPad Pro 2020 tersebut.

Tidak. Bukannya Apple menipu anda dengan memberikan cip yang tidak 'elok' pada model iPad Pro 2018 sebelum ini. Perkara ini adalah normal dalam industri pembuatan cip dan bukan Apple sahaja yang melakukannya. Samsung, NVIDIA, AMD, Intel, TSMC, semua pengeluar ini melakukannya dan bukan merupakan satu kesalahan pun.

Baik A12X atau A12Z, kedua-dua cip ini sudah cukup berkuasa untuk sesebuah tablet. Malah, jika Apple menyertakan hanya 7 teras GPU A12X sahaja pun, iPad Pro 2020 masih lancar beroperasi kerana cip itu adalah jauh lebih berkuasa dari kebanyakan peranti pintar yang wujud dalam pasaran sekarang.

Sumber: Notebookcheck.net, SnazzyQ