Dilaporkan Hampir Kesemua Data Rakyat Bulgaria Dicuri Dalam Satu Serangan Siber

Data 5 juta rakyat Bulgaria didakwa telah dicuri penggodam menerusi Agensi Hasil Negara.


Berdasarkan kepada laporan PCMag yang memetik sumber dari surat khabar Capital dari Bulgaria, sebanyak 5 juta data rakyat Bulgaria dipercayai telah dicuri dalam satu serangan siber yang dibuat terhadap Agensi Hasil Negara tersebut.

Ia berikutan pihak media di dalam negara itu pada Isnin lalu telah menerima sejumlah 57 fail yang didapati mengandungi lebih daripada sejuta PIN, nama, alamat dan hasil pendapatan yang dimiliki oleh individu termasuklah para wartawan dan menteri kewangan negara tersebut.

Selain itu, dalam fail yang diterima itu juga turut mengandungi beratus ribu wajah yang mana  pihak Capital percaya bahawa wajah-wajah tersebut adalah wajah pengguna yang berdaftar dengan laman judi atas talian.

Walaupun sebahagian data didapati adalah data-data yang sudah berusia lebih daripada 10 tahun, tetapi terdapat juga data-data privasi terbaru rakyat Bulgaria.

Fail data yang diterima pihak media negara itu telah dihantar oleh pihak yang tidak dikenali menerusi e-mel yang mengandungi fail bersaiz 11GB. Tetapi saiz data yang diterima itu dipercayai tidak mengandungi sepenuhnya data daripada 21GB data yang telah digodam oleh penyerang.

Serangan siber ini juga sekali lagi mengaitkan dengan negara Rusia.

Rusia sejak kebelakangan ini terus menjadi perhatian apabila mereka dikaitkan dengan tuduhan isu eksploitasi data pengguna menerusi aplikasi FaceApp dan 7 aplikasi yang dibuang dari Play Store setelah didapati aplikasi-aplikasi itu mengintip aktiviti dan data privasi penggunanya.