Dilapor Kemukakan Permohonan Lesen, Google Akan Terus Bekerjasama Dengan Huawei

Hujung minggu lalu, Google telah mengeluarkan satu kenyataan dimana ia menasihatkan pengguna telefon pintar Huawei supaya tidak memasang aplikasi Google secara tidah sah. Ini kerana Google menyatakan, memasang aplikasi-aplikasi Android yang bukan dari pihak Google secara rasmi akan menyebabkan risiko terhadap keselamatan peranti pengguna.

Dalam satu laporan terbaru, Google menyatakan telah mengemukakan lesen untuk terus bekerjasama dengan Huawei. Walau bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai status lesen tersebut.

Jika Google mendapat kelulusan dari kerajaan AS, telefon pintar Huawei pada masa akan datang mungkin mempunyai sokongan Google Mobile Service (GMS), PlayStore dan aplikasi seperti Google Maps, Youtube, Gmail dan lain-lain.



Terdahulu, pada May 2019, Huawei telah disekat dari melakukan perdagangan dengan pelbagai syarikat dari AS termasuk Google. Sejak itu, Huawei mula membangunkan ekosistem mereka sendiri, iaitu HMS bagi menggantikan GMS.

HMS menggabungkan keupayaan cip dan peranti Huawei, termasuk portfolio penuh perkhidmatan HMS Core dan platform peralatan IDE yang berkaitan untuk pembangunan dan pengujian, bersama-sama dengan aplikasi utama untuk peranti Huawei. Siri Huawei Mate 30 adalah yang pertama dilancarkan dengan sokongan sepenuhnya HMS, diikuti oleh peranti Huawei Mate Xs, Honor View30 Pro, Honor 9X Pro dan sebagainya.

Dalam pada itu, Huawei juga berhasrat untuk mengembangkan lagi ekosistem aplikasi HMS ke tahap yang lebih luas.