Digital Wellbeing Perlahankan Prestasi Peranti - Pengguna Pixel

Perisian Digital Wellbeing ini adalah sangat-sangat berguna bagi mengawal kegunaan peranti dan boleh membahagikan masa supaya seimbang antara kehidupan yang sihat dan teknologi.

Selepas beberapa minggu, pengguna Pixel menyatakan prestasi peranti mereka lebih laju selepas mematikan ciri-ciri Digital Wellbeing. Bermula dari seorang pengguna Reddit yang memberitahu orang ramai cara untuk mengatasi masalah prestasi pada peranti Pixel.



Secara umumnya, Digital Wellbeing ini akan berjalan di latar belakang dan mencatat berapa lama anda meluangkan masa anda pada peranti sama ada menggunakan aplikasi atau tujuan umum.

Ia sesuatu yang bagus jika anda ingin mengawal aktiviti anda pada peranti dan melebihkan aktiviti tanpa peranti. Anda boleh menetapkan pemasa pada sesuatu aplikasi atau mengaktifkan paparan greyscale supaya mengurangkan minat anda apabila melihat paparan peranti.



Digital Wellbeing ini juga diperkenalkan pada keluaran Android 9 Pie pada peranti Pixel sebelum berpindah ke Android One. Google juga akan mengembangkan perisian ini di Android Q dengan Focus Mode.

Jika anda ingin mematikan ciri Digital Wellbeing dan merasa perbezaannya sendiri, anda boleh;

  • Pergi ke tetapan.

  • Pilih Digital Wellbeing.

  • Tekan pada 3-dot pada atas kanan dan pilih "Turn off usage access".

  • Periksa semula dengan pergi ke "Usage access", pilih Digital Wellbeing dan pastikan "permit usage access" dalam keadaan tutup.


Sumber: The Verge dan Android Central