Digi Uji Ambulans 5G Pertama Di Langkawi

Baru-baru ini, syarikat telekomunikasi Digi telah bekerjasama dengan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) bagi menguji ambulans berkeupayaan 5G pertama di Malaysia. Usaha ini bertujuan untuk membekalkan kebolehan pemindahan data perubatan dalam masa nyata di antara pihak paramedik dan hospital.

Pasukan paramedik telah melakukan simulasi secara langsung menunjukkan bagaimana bacaan ECG dan imbasan ultrabunyi diambil menerusi ambulans 5G tersebut.

Maklumat perubatan penting ini biasanya hadir dalam kapasiti digital bersaiz gigabait. Kemudian, ia dihantar dalam masa nyata kepada doktor untuk membuat dignosis serta persediaan bagi ketibaan pesakit di wad kecemasan.

digi ambulans 5G

Demonstrasi ini merupakan sebahagian daripada kes kegunaan Digi dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang dijalankan oleh SKMM. Ia bertujuan untuk memudahkan serta memupuk penggunaan 5G secara langsung dalam persekitaran yang terkawal.

Kes kegunaan yang digunakan menggariskan impak yang dapat dibawakan oleh teknologi 5G. Ia membantu dalam memajukan bidang industri yang utama seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan digital. Hal ini sekaligus membantu para doktor mengecapi tahap ketepatan yang lebih tinggi dalam bab pendiagnosan pesakit mereka.

Buat masa ini, Digi mempunyai dua tapak ujian 5G di pulau berkenaan iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Hospital Sultanah Maliha. Stesen pangkalan mudah alih 5G yang terletak di premis hospital berkenaan beroperasi pada spektrum 3.4-3.5GHz (C-band) dengan jalur lebar 100MHz beserta kelajuan mencecah 1.2Gbps.

Berkaitan