Digi Tawarkan Pengalaman Pelancongan Maya Masa Nyata Pertama Di Malaysia Yang Dikuasakan 5G

Baru-baru ini, Digi telah menjalin kerjasama bersama Malaysia Airports dan Panorama Langkawi dalam menawarkan pengalaman pelancongan maya masa nyata yang pertama di Malaysia. Teknologi ini dikuasakan dengan rangkaian 5G dan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Melalui teknologi Virtual Tourism tersebut, ia membolehkan para pengunjung menikmati pemandangan 360 darjah Gunung Machincang. Paparan visual akan dipancarkan secara langsung sejauh 20 kilometer menggunakan kamera yang dipasang di stesen tengah SkyCab Langkawi.



Dengan keupayaan 5G dalam memberikan kelajuan pantas dan penyambungan kadar kependaman latensi yang sangat rendah, pengunjung dapat menikmati pemandangan dalam masa nyata dengan kualiti paparan yang berdefinisi tinggi tanpa sebarang gangguan.



Pameran ini adalah sebahagian daripada kes penggunaan Digi dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pameran ini bertujuan memudahkan, membangunkan dan mengadaptasikan kes penggunaan 5G secara langsung dalam persekitaran yang terkawal.

Bagi anda yang mahu merasakan pengalaman pelancongan maya 5G ini. ia dibuka untuk umum sehingga Mac 2020.

 

Berkaitan