Digi Berjaya Merangkul 3 Anugerah Utama Di Majlis Star Rating Award 2018

SKMM meraikan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi cemerlang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini meraikan syarikat-syarikat penyedia servis rangkaian telekomunikasi di Malaysia pada Majlis Star Rating Award 2018 yang berlangsung di Cyberjaya.

Majlis istimewa tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.

Majlis itu adalah satu pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada pengguna di samping menyemai budaya kualiti kecemerlangan sesama mereka.

Dalam majlis itu, syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd telah berjaya merangkul sebanyak  tiga daripada lapan anugerah yang dipertandingkan.



3 anugerah yang dirangkul Digi dalam kategori perkhidmatan selular adalah Penyedia Perkhidmatan Selular Awam Terbaik (MNO), Kepuasan Pelanggan Terbaik dan Kualiti Perkhidmatan Terbaik.

Bagi anugerah Kualiti Perkhidmatan Terbaik, U Mobile Sdn Bhd turut sama menerima anugerah tersebut.

Bagi kategori Penyedia Perkhidmatan Rangkaian Maya Selular Terbaik (MVNO), ia dimenangi oleh Syarikat XOX Com Sdn Bhd.

Celcom Axiata Berhad pula memenangi anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terbaik.  U Mobile Sdn Bhd merangkul anugerah Kualiti Perkhidmatan Terbaik.

Manakala kategori Pelaburan Rangkaian Terbaik telah dianugerahkan kepada Maxis Broadband Sdn Bhd dan Webe Digital Sdn Bhd pula untuk kategori Pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Terbaik.

Selain itu, TT Dotcom Sdn Bhd juga turut berjaya merangkul kategori baharu iaitu Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Berbayar Terbaik (BAS).

Star Rating Award 2018 merupakan majlis penghargaan kedua yang diadakan bagi meraikan syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia.