Digi Mahu Bantu Usahawan PKS Melalui Program MY Digital SME

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah melancarkan MY Digital SME, sebuah program yang bermatlamat untuk melengkapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS atau ‘SME’). Dengan kolaborasi bersama SME Corp, Mahir Digital Bersama Google, AVANA Facebook Commerce, REV Asia dan Shopee, program tersebut dirumus sebagai bengkel praktikal yang membolehkan pemilik perniagaan dan usahawan mewujudkan pengaruh digital untuk perniagaan mereka seusai menjalani program tersebut, lantas mengorak langkah yang pertama dalam usaha untuk mendigitalkan perniagaan mereka.



Lebih daripada 500 pemilik perniagaan dan usahawan telah memanfaatkan penganjuran dua bengkel pertama di Ipoh, Perak dan Kota Bahru, Kelantan.

Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh yakin bahawa MY Digital SME mampu memperkasakan lebih daripada 1000 PKS Malaysia untuk mendigitalkan perniagaan masing-masing, lalu mendukung pertumbuhan digital dalam segmen PKS. menrusi dua lagi bengkel di dalam perancangan.

Menurut beliau:

“Melalui proses pendigitalan, pelbagai peluang yang dapat diterokai oleh PKS dan sekali gus membantu mengembangkan perniagaan mereka. Untuk bersaing dalam ekonomi digital masa kini, persoalannya bukan mengapa, tetapi bagaimana PKS dapat mendigitalkan perniagaan masing-masing, dan ia telah menjadi batu halangan bagi kebanyakan PKS. Oleh itu, antara faktor yang telah mendorong kami untuk menjalankan program ini ialah bagi membantu PKS mendalami ilmu pendigitalan dalam perniagaan, dan ia diberikan secara percuma. Di samping itu, walaupun terdapat pelbagai seminar yang diadakan untuk PKS yang membicarakan tentang manfaat pendigitalan, hanya segelintir daripada mereka yang mengongsikan langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk mendigitalkan perniagaan para usahawan,”

Para peserta juga dapat belajar daripada pakar-pakar Digi tentang manfaat transformasi digital bagi entiti perniagaan, dan cara untuk mengambil langkah yang pertama. Sesi tersebut mengetengahkan solusi-solusi yang tersedia untuk diterokai oleh entiti-entiti perniagaan yang dapat memangkin produktiviti serta keefisienan perniagaan mereka.

Bengkel-bengkel MY Digital SME yang berbaki akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 September dan Kuching, Sarawak pada 5 Oktober ini.

Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara untuk menyertai program MY Digital SME, sila layari http://digi.my/mydigitalsme.