Digi Dan TM GLOBAL Berkolaborasi Untuk Menyediakan Lebih Pilihan Sambungan Seluruh Malaysia

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan TM GLOBAL telah mencipta satu lagi kejayaan penting dalam industri telekomunikasi Negara apabila berkolaborasi secara rasmi untuk meningkatkan capaian internet di seluruh negara. Kerjasama ini menandakan komitmen berterusan dari kedua pihak untuk menyokong Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) oleh pihak Kerajaan.



Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif, TM GLOBAL, Amar Huzaimi Md Deris dan Ketua Strategi dan Transformasi, Digi, Alex Foo. Turut hadir bagi menyaksikan majlis tersebut ialah Pengerusi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Dato’ Noor Kamarul Anuar Nuruddin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.

Di bawah kolaborasi ini, TM GLOBAL dan Digi akan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan masing-masing untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui tiga (3) perjanjian perniagaan utama. Salah satu daripada perjanjian perniagaan tersebut adalah penggunaan Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM), sistem kabel dasar laut antara rantau yang dibangunkan secara bersama di bawah Usahasama Awam-Swasta (PPP) antara TM dan MCMC. Sistem kabel itu menggunakan teknologi 100Gbps pada kapasiti permulaan sebanyak 4 Terabit sesaat (Tbps) dan boleh ditingkatkan kepada minimum 12.8Tbps.

Digi juga akan mengoptimumkan penggunaan lebih 7,000 hotspot TM di seluruh negara dengan menyediakan sambungan WiFi kepada orang ramai, bagi melengkapkan keperluan pengguna terhadap akses internet semasa berada di luar. Inisiatif ini akan memanfaatkan penggunaan aset dan infrastruktur rangkaian sedia ada.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty:

“Usahasama industri berperanan penting dalam memacu agenda negara untuk memberikan sambungan yang lebih baik ke seluruh negara. Dalam matlamat kami bagi menghubungkan rakyat Malaysia kepada perkara yang menjadi keutamaan mereka, kami akan menjalin kerjasama secara lebih aktif bersama rakan-rakan strategik seperti TM untuk meningkatkan kualiti dan penawaran perkhidmatan yang akan membawa lebih banyak manfaat sosio-ekonomi untuk rakyat Malaysia.”

Kerjasama antara dua pemain industri utama seumpama ini adalah selari dengan seruan Kerajaan terhadap lebih banyak kerjasama dalam industri dan akan memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan dengan memperkayakan rakyat Malaysia menerusi sambungan bertaraf dunia, terpantas, dan terus meningkatkan penembusan jalur lebar di seluruh Malaysia.