Digi Beri Rebat RM10 Seumur Hidup Untuk Dinikmati Warga Emas

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) baru-baru ini mengumumkan bahawa syarikat itu kini menyediakan satu tawaran istimewa buat golongan warga emas.

Semua pelanggan pascabayar berusia 60 tahun ke atas yang berdaftar dengan Digi boleh menikmati rebat RM10 ke atas pelan terbaik serendah RM28 sebulan bagi mendapatkan 6GB data.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Digi Yellow Heart untuk memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dengan sambungan internet yang lebih mampu dimiliki.



"Tawaran buat warga emas ini adalah salah satu cara kami untuk membawa perkhidmatan yang bermakna kepada para pelanggan, di mana komuniti sasaran boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan digital dengan semudah satu klik sahaja", kata Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram.

Pelanggan Digi yang layak akan menerima satu notifikasi daripada aplikasi MyDigi mereka untuk mengaktifkan tawaran ini. Ia juga boleh ditebus dalam ciri Box of Surprise di dalam aplikasi tersebut. Rebat ini akan mula terpapar secara automatik di dalam bil bulanan.



Sebelum ini, Digi telah memperkenalkan program rebat sepanjang hayat buat orang kurang upaya (OKU). Pelanggan OKU juga boleh mendapatkan rebat ini di mana-mana Digi Store dengan kad pengenalan (NRIC) dan kad OKU.

Di samping itu, Digi juga telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan pengalaman pelanggan diutamakan dengan penyediaan keadaan dan ruang yang selesa di kedai-kedai Digi untuk warga tua, OKU dan wanita hamil.

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran ini, boleh layari portal rasmi Digi Yellow Heart.