realme X2 Pro: Mahal atau murah?

Kita sekarang sudahpun memasuki bulan terakhir sebelum 2019 melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Sepanjang pelayaran 2019, peminat peranti mudah alih sedia disajikan dengan pelbagai penawaran dari kelas permulaan sehinggalah kepada model premium. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Antara peranti yang cukup hangat dibualkan ketika ini adalah realme X2 Pro, model flagship pertama daripada realme.

realme x2 pro

Sewaktu ia dikhabarkan akan masuk ke dalam pasaran tempatan, ramai menjangkakan realme X2 Pro dijual dibawah paras RM2000. Tapi sangkaan ramai meleset dan topik mengenai harga mula diperdebatkan antara peminat. Ia dibahaskan sehingga ada yang mengenepikan soal spesifikasi berkuasa pada peranti ini. Masih lagi kurang senang dengan harga?

IKLAN

Ok baik, jika masih mahu memperkatakan tentang harga, cuba kita letakkan realme X2 Pro disebelah Samsung Galaxy Note 10. Galaxy Note 10 dijual pada nilai RM3699 sementara realme X2 Pro pada harga RM2399.

realme X2 Pro vs Galaxy note 10

Perbezaan sebanyak RM1300 boleh dilihat jika dibandingkan antara harga keduanya. Mari kita lihat adakah nilai RM2399 itu sesuai atau tidak dengan realme X2 Pro.

Rekaan peranti

realme X2 Pro tampil dengan ukuran dimensi yang lebih besar berbanding Galaxy Note 10. Secara zahirnya, rekaan Galaxy Note 10 lebih mengancam daripada flagship realme ini. Saiznya lebih selesa dipegang terutama sekali bagi mereka yang mempunyai tangan kecil. Cukup seksi ditambah dengan sisi paparan yang melengkung.

realme x2 pro vs galaxy note 10

Untuk perlindungan bahagian depan dan belakang, realme X2 Pro menggunakan Corning Gorilla Glass 5 manakala Galaxy Note 10 dengan Gorilla Glass 6.

Kalau melihat dari luaran peranti, Galaxy Note 10 lebih bergaya dan premium. realme X2 Pro tampak biasa dan sedikit pelik dengan logo “realme’ diletakkan tidak selari dengan modul kamera belakang. Penghidap OCD pasti tidak menyukainya. Namun begitu, ketiadaan bicu audio 3.5mm membuatkan Galaxy Note 10 tidak digemari sebahagian pengguna tegar fon telinga berwayar.

Seperkara lagi yang kurang enak berkenaan dengan Galaxy Note 10 adalah paparan Infinity O. Kami lebih selesa dengan takuk berbanding skrin yang “berlubang”.

realme x2 pro vs galaxy note 10 notch vs punch hole

Siapa menang?Anda pilih sendiri diantara rupa paras premium, saiz yang selesa dipegang dan ciri S-Pen pada Galaxy Note 10. Atau realme X2 Pro yang mempunyai bicu audio 3.5mm dan takuk yang lebih dirasakan “mesra” mata berbanding punch hole. Mana yang lebih penting dengan gaya penggunaan anda?

realme x2 pro vs galaxy note 10

Skrin paparan

Masing-masing menggunakan paparan dari jenis AMOLED dimana realme X2 Pro dengan Super AMOLED sementara Galaxy Note 10 menggunapakai Dynamic AMOLED. Kedua-duanya mempunyai sokongan HDR10+.

Paparan pada dua peranti ini sangat cemerlang dalam menghidangkan paparan dengan warna jelas, terang beserta pericincian yang cukup baik. Menarik tentang bahagian ini adalah kadar penyegaran 90Hz yang diberikan pada realme X2 Pro. Tatalan pada skrin dibuat dengan lebih responsif serta lancar.

realme X2 Pro vs Galaxy Note 10
Galaxy Note 10 (atas), realme X2 Pro (bawah).

Walaupun berkelebihan pada ciri tersebut, ia masih belum menandingi prestasi paparan Galaxy Note 10. Akan tetapi dari segi pengalaman menggunakannya, terdapat pengguna yang lebih sukakan kepekatan warna pada realme X2 Pro. Lain- lain spesifikasi keduanya menyokong gamut warna DPCI – P3 serta kecerahan sehingga 1000 nit (Galaxy Note 10 lebih sedikit).

Siapa menang? Galaxy Note 10.

Prestasi

Diatas kertas kertas, realme X2 Pro dilihat menang mudah untuk kategori ini. Hatta secara realiti penggunaannya, prestasi realme X2 Pro cukup memberangsangkan. Apa tidaknya, ia dilengkapkan dengan cip Snapdragon 855 Plus berbanding Exynos 9825 yang dimuatkan pada Galaxy Note 10.

Pemprosesan grafik pula digalas oleh Adreno 640 dan bagi Galaxy Note 10 ia tampil dengan Mali-G76. Berdasarkan permainan PUBG dengan tetapan tertinggi, realme X2 Pro mampu menggapai purata 46fps dan Galaxy Note 10 pula sekitar 39fps.

realme x2 pro vs galaxy note 10 antutu

Menambah lagi kekuatan pada realme X2 Pro adalah RAM yang diperuntukkan iaitu 12GB dengan berbanding 8GB pada Galaxy Note 10. Persamaan antara kedua-dua peranti adalah penggunaan storan berasaskan UFS 3.0 dengan kapasiti 256GB.

Untuk ciri sekuriti, realme X2 Pro dan Galaxy Note 10 menawarkan dua imbasan biometrik, wajah serta cap jari. Model-model ini pantas dalam menyahkunci skrin tetapi apabila diperhatikan dengan lebih teliti, realme X2 Pro lebih laju dalam membuat imbasan wajah mahupun cap jari.

realme x2 pro vs galaxy note 10

Siapa menang? realme X2 Pro.

Kamera

Peranti realme disumbat dengan empat kamera terdiri daripada lensa utama 64MP, 13MP telefoto, 8MP sudut luas dan 2MP potret. Bagi Galaxy Note 10, Samsung menawarkan tiga kamera, 12MP utama, 16MP sudut luas dan 12MP telefoto.

Secara ringkasnya, ciri HDR Galaxy Note 10 menunjukkan julat dinamik yang tinggi dengan butiran yang baik. Apabila merakam tumbuhan kamera peranti ini dilihat meningkatkan lagi warna hijau dan kadangkala terasa HDR-nya agak keterlaluan.

Bagi realme X2 Pro pula, prestasinya memuaskan. Hasil kamera belakang kurang ummpphh, tetapi pada pencahayaan yang baik ia boleh mendapatkan imej setara dengan Galaxy Note 10. Dari segi white balance, realme X2 Pro agak sedikit kekuningan.

Kalau letak secara sebelah-menyebelah memang nampak ketara perbezaan kualiti tersebut. Tetapi kalau diteliti tanpa membuat sebarang perbandingan, imej realme X2 Pro sudah cukup memuaskan hati.

Untuk hasil boleh lihat gambar dibawah.

realme x2 progalaxy note 10

 

realme x2 progalaxy note 10

 

galaxy note 10realme x2 pro

 

galaxy note 10realme x2 pro

 

galaxy note 10realme x2 pro

Siapa menang? Galaxy Note 10.

Bateri

Kapasiti bateri 4000mAh (realme X2 Pro) dengan 3500mAh (Galaxy Note 10) anda pilih yang mana? Ya pilihan yang muncul dalam dibibir anda sudah menjawab segalanya. Belum sebut lagi teknologi pengecasan yang disertakan pada peranti ini.

Kepada anda yang tidak tahu, realme X2 Pro didatangkan dengan pengecasan pantas SuperVOOC Flash Charge 50W manakala peranti Samsung dengan 25W. Cukup sekadar kami beritahu 4000mAh mampu dicas sekitar 30 minit.

Pilih yang mana? realme X2 Pro

Ringkasan perbandingan

realme x2 pro vs galaxy note 10

Kesimpulan

Mungkin ada diantara anda yang merasakan perbandingan realme X2 Pro bersama Galaxy Note 10 ini adalah kerja gila. Tetapi disini kami ingin anda lihat, setiap spesfikasi yang berkuasa mampu dimuatkan dalam telefon pintar dengan harga yang berpatutan. Bahkan ia lebih murah dari sesetengah model dengan spesifkasi lebih rendah yang berada dipasaran ketika ini.

Betul jika anda rasakan Galaxy Note 10 ada kelebihannya yang tersendiri, begitu juga dengan realme X2 Pro. Namun sudah jelas perbezaan harga yang ketara sehingga RM1300, ditambah dengan jurang spesifikasi yang disenaraikan diatas. Jadi soal realme X2 Pro mahal tidak sepatutnya timbul jika anda melihat apa yang ditawarkan peranti ini secara keseluruhan.

realme X2 Pro disediakan dengan dua warna pilihan iaitu Lunar White dan Neptune Blue, anda boleh beli secara pra-tempah pada hari ini 5 Disember 2019 (percuma realme buds Wireless, realme power bank dan realme bag pack). Sementara itu, pada 7 Disember 2019 (12.00 am) pula jualan istimewa akan dibuat di DirectD Mega Store Petaling Jaya. Bagi yang memilih untuk membeli secara dalam talian, Lazada akan mula menawarkannya pada 12 Disember 2019.

realme x2 pro lazada

Setelah apa yang kami sampaikan ini, adakah anda merasakan realme X2 Pro masih mahal dengan segala komponen berkuasa yang dibekalkan?