Dengan Harga Jualan Siri OnePlus 8 Yang Lebih Mahal, Sanggupkah Pengguna Untuk Membayarnya?

Siri OnePlus 8 akan dilancarkan lebih kurang seminggu sahaja lagi. Sehubungan dengan itu, sudah banyak maklumat mengenai siri ini yang terdiri dari 2 model iaitu OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro. Baik dari segi spesifikasi dan juga rekaannya, ia telah mula didedahkan dari semasa ke semasa. Dan hari ini, kita telah mula menerima maklumat terakhir melengkapkan kepingan teka-teki yang bermain dalam fikiran pengguna iaitu harga jualannya.

Menurut harga jualan yang diperoleh dari winfuture, siri OnePlus 8 ini bukannya murah. Ia dijangka akan dipasarkan bermula dari sekitar 719 euro sehingga 1019 euro untuk varian paling tertinggi.

Lebih spesifik lagi, ini merupakan harga untuk setiap varian yang akan dijual:

  • OnePlus 8 8GB/128GB: 719/729 euro sekitar (RM3,390~RM3,439)

  • OnePlus 8 8GB/256GB: 819/829 euro sekitar (~RM3,862~RM3,909)

  • OnePlus 8 Pro 8GB/128GB: 919/929 euro sekitar (~RM4,334~RM4,381)

  • OnePlus 8 Pro 8GB/256GBGB: 1009/1019 euro sekitar (~RM4,758~RM4,805)


Untuk yang kurang mesra dengan OnePus sudah tentunya tidak menyangka harga jenama ini boleh melonjak semahal ini. Namun sebagai peminat gajet lebih-lebih lagi OnePlus, mungkin ramai antara pembaca yang sudah menjangkakan harga jualan siri OnePlus 8 bakal melonjak tinggi walaupun ketika belum dikhabarkan lagi.

Mengapa Harga Siri OnePlus 8 Mahal?


Untuk sebuah syarikat yang momentum jualannya diperolehi dari harga yang rendah bermula sekitar RM1100 untuk produk yang pertama, harga siri OnePlus 8 pula adalah sangat jauh bezanya. Mengapa?

Seperti yang diketahui peranti OnePlus semakin lama semakin mahal dan tahun ini sebenarnya bukan OnePlus 8 sahaja yang mahal. Malah jika diperhatikan dalam landskap industri pasaran, kebanyakan peranti flagship sememangnya lebih mahal dari model sebelumnya.

Untuk OnePlus 8, ia datang dari beberapa faktor seperti penggunaan teknologi rangkaian 5G. Komponen perkakas 5G di dalam cip Snapdragon 865 ini secara tidak langsung memacu harga peranti dan menjadikan peranti yang menggunakan cip ini secara automatik menjadi mahal.

Seterusnya siri OnePlus mula menyertakan fungsi dan ciri-ciri peranti flagship yang sudah sekian lama bertapak pada peranti pesaing. Pada OnePlus 8 Pro, kini ia mula menyertakan fungsi pengecasan tanpa wayar 30W dan juga piawaian kalis air/debu IP68. Fungsi ini sebelum ini memang tidak terdapat langsung pada model sebelum-sebelumnya jadi penyertaannya dalam siri OnePlus 8 telah menjadikan peranti tersebut lebih mahal.

Sanggupkah Anda Untuk Membayarnya?


Dengan harga yang dijual sebegitu tinggi, sanggupkah pembeli untuk mengeluarkan wang membayarnya? Fungsi seperti pengecasan tanpa wayar dan IP68 sudah bertahun-tahun diminta oleh peminat OnePlus. Jadi fungsi tersebut akan hadir untuk siri OnePlus 8 dan adakah pengguna yang sama meminta dan mengemis OnePlus untuk menyertakan fungsi ini akan membelinya?

Saya merasakan kebanyakan peranti pintar ini jika harganya mahal, ia berbalik kepada satu perkara iaitu kualiti kameranya. Jika OnePus 8 dan 8 Pro tahun ini mempunyai kualiti pengimejan yang cemerlang setanding dengan peranti flagship yang lain, ia sedikit memberikan alasan yang kuat untuk jenama OnePlus meletakkan harga yang sedikit tinggi untuk siri mereka yang terbaharu ini.

Tinggal tidak lama lagi OnePlus akan melancarkan siri OnePlus 8 kerana tarikh pelancarannya adalah 14 April 2020. Jika betul harganya mencecah sebegitu tinggi dan setanding peranti flagship yang lain seperti Samsung atau iPhone, adakah berbaloi pembelian OnePlus 8 ini?