Demi Rekod Dunia, Peminat Ini Sudah Menonton Sebanyak 122 Kali Filem Avengers: Endgame Di Pawagam

Beliau mensasarkan sebanyak 200 kali tontonan.


Anda mungkin adalah salah seorang daripada jutaan peminat tegar filem Avengers. Malah anda juga mungkin berbangga memberitahu rakan-rakan anda yang anda telah pun menonton filem tersebut lebih daripada 3 kali.

Tetapi anda pastinya tidak dapat menandingi rekod seorang peminat tegar yang bernama Agustin Alanis, dari Florida. A.S. Ini kerana beliau telah pun menonton sebanyak 122 kali filem Avengers: Endgame.

Malah beliau tidak akan berhenti setakat itu sahaja, tetapi akan terus menonton filem tersebut bagi mencapai sasaran 200 kali menonton filem itu. Sekaligus memahat namanya di dalam Rekod Dunia Guinness sebagai individu yang paling kerap menonton filem dipanggung wayang bagi filem yang sama.

https://twitter.com/agalanis17/status/1140081646982651904

Menurut beliau, pada awalnya beliau tidak pernah pun merancang untuk mencipta rekod dunia. Tetapi sejak dalam tempoh 2 minggu selepas filem tersebut keluar di pawagam, beliau belum pernah melepaskan peluang menonton filem itu di panggung wayang.

Ia secara tiba-tiba sahaja telah menyebabkan beliau berazam untuk memecahkan rekod dunia sepertimana filem tersebut yang telah memecahkan pelbagai rekod yang dipegang oleh filem-filem lain.

Untuk pengetahuan anda, seorang lelaki bernama Tony "Nem" Mitchell adalah pemegang Rekod Dunia Guinness sebagai individu yang paling kerap menonton filem dipanggung wayang bagi filem yang sama (Filem Avengers: Infinity War pada tahun 2018 lalu.

Kejayaan beliau yang telah menonton filem tersebut sebanyak 103 kali telah menyebabkan beliau dijemput menghadiri tayangan perdana filem Avengers: Endgame pada tahun ini.

https://twitter.com/GWR/status/1100912301694242816

Sudah pastinya Agustin Alanis telah pun memecahkan rekod tersebut dan beliau juga sudah pun membuat permohonan rasmi kepada pihak Guinness. Kali terakhir semakan yang dibuat terhadap akaun Twitter beliau, kini beliau sudah pun menonton Avengers: Endgame buat kali ke-122.

Berkenaan dengan status filem Avengers: Endgame pula, setakat semakan terakhir yang dibuat di laman Box Office Mojo, filem itue yang masih ditayang dibeberapa buah negara termasuklah Malaysia telah pun mengutip sebanyak USD2,734,786,099 bagi kutipan seluruh dunia.

Walaubagaimanapun, jumlah tersebut masih belum cukup untuk filem tersebut menandingi kutipan filem Avatar yang masih kekal memegang rekod sebagai filem yang mengutip kutipan tertinggi di dunia iaitu sebanyak USD2,787,965,087.00.

Tetapi jika dilihat pada angka kutipan kedua-dua filem tersebut, ia sudah tidak begitu jauh untuk Avengers: Endgame mengatasi Avatar.

Sumber: CNET

Berkaitan