Dell Perkenalkan Model Terbaru Komputer Meja Alienware Aurora R9 Di Gamescom 2019

Komputer meja berkuasa ini berasaskan rekaan industri Alienware Legend.


Di acara Gamescom 2019 yang baru saja bermula di Cologne, Jerman hari ini, Dell telah perkenalkan model terbaru komputer meja berprestasi tinggi mereka kepada pengunjung iaitu Alienware Aurora R9.

Model terbaru Alienware ini adalah kesinambungan kepada model sebelumnya, Alienware Aurora R8. Cuma bezanya untuk Aurora R9 adalah ia pertama kalinya direka berasaskan rekaan industri Alienware Legend sepertimana yang dipraktikkan pada model komputer riba Alienware Area-51m Gaming Laptop.

Alienware Aurora R9 dilengkapi dengan pilihan perkakasan dari cip pemprosesan Intel Generasi ke-9 Core i3 hinggalah Core i9. Pengguna juga boleh memilih sama ada mahu melengkapinya dengan kad grafik dari AMD ataupun Nvidia, tunggal ataupun berkembar.

Kapasiti RAM pula mampu dimuatkan sehingga 64GB serta menyokong saiz storan sehingga 4TB. Terdapat 2 warna pilihan ditawarkan iaitu Lunar Light dan Dark Side of the Moon.



Alienware Aurora R9 dijangka akan mula ditawarkan dengan harganya bermula dari USD969.99. Untuk info lanjut spesifikasi komputer meja ini, sila layari laman muka Dell New Alienware Aurora.