Dell G7 15 Dengan Paparan Sehingga 300Hz Diumumkan - Bakal Dijual Bermula RM6,499

Dell Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa komputer riba gaming yang baru sahaja dilancarkan G7 15 ke pasaran tempatan. Ia membawakan rekaan baharu dan juga pilihan panel dengan 300Hz.

Komputer riba ini hadir dengan cip sehingga Intel Core i9-10980HK dan Nvidia GeForce RTX 2070 Max-Q. RAM pula adalah sehingga 32GB DDR4 2933MHz dan storan dalaman sehingga 1TB PCIe SSD.



Terdapat 3 pilihan panel iaitu FHD 144Hz dan FHD 300Hz. Untuk pengkarya digital, terdapat pilihan panel 4K OLED 60Hz yang boleh disentuh. Bezel untuk model kali ini juga adalah lebih nipis berbanding model sebaliknya.

Menghiasi bahagian hadapan komputer riba adalah pencahayaan LED. Papan kekunci juga turut sama mempunyai RGB dengan 4 zon warna.

Untuk pasaran Malaysia, Dell mengumumkan komputer riba ini bakal dijual bermula RM6,499. Sehubungan dengan itu, ini merupakan spesifikasinya:

  • Dell Gaming G7 15 (7500)

  • Intel Core i7-10750H

  • Nvidia GeForce GTX 1660 Ti 6GB GDDR6

  • 2x4GB DDR4 2933MHz

  • 512GB PCIe NVMe SSD

  • 15.6 inci FHD (1920x1080) 144Hz LED


Komputer riba ini akan mula dijual mulai 14 Julai 2020. Selain itu, Dell juga bakal melancarkan monitor gaming Dell 27, dan versi melengkungnya. Satu lagi produk yang akan dilancarkan adalah papan kekunci mekanikal RGB Alienware AW410K.

Dell 27 Gaming Monitor


Ia merupakan monitor IPS QHD bersaiz 27 inci dengan kadar segar semula 165Hz dan masa tindak balas 1ms. Antara teknologi yang ditawarkan adalah Nvidia G-Sync dan juga AMD FreeSync Premium Pro.



Dari segi ketepatan warna, ia meliputi 98% DCI-P3 dan dilengkapi dengan piawaian DisplayHDR 400 VESA. Monitor direka dengan bezel nipis dan mempunyai lubang pengudaraan pada bahagian belakang untuk pengaliran udara.

Dell 27 Curved Gaming Monitor


Monitor ini pula adalah paparan melengkung FHD bersaiz 27 inci. Ia menawarkan masa tindak balas 1ms dengan lengkungan 1500RR. Kebanyakn teknologi monitor adalah berkongsi dengan Dell 27 Gaming Monitor iaitu menyokong Nvidia G-Sync dan AMD FreeSync Premium Pro.



Panelnya merupakan panel VA. Untuk liputan warna, ia menyokong sehingga 83% NTSC.

Alienware AW410K


Sebagai sebuah papan kekunci mekanikal, ia hadir dengan suis MX Brown dari Cherry. Dari segi rekaan, ia berwarna hitam dan mempunyai RGB yang boleh diubahsuai dalam perisian Alienware Command Centre.

Antara ciri menarik papan kekunci adalah kabel jalinan nylon, 1000Hz kadar polling, binaan aluminium siri 5000, butang kawalan suara khas, dan jangka hayat 100 juta klik.



Harga jualan ketiga-tiga produk ini untuk pasaran Malaysia belum lagi diumumkan. Namun masing-masing bakal dilancarkan pada tarikh 28 Julai, 21 Ogos, dan 4 Ogos kelak.

Beli produk Dell di
Lazada: https://invol.co/clpmps

Berkaitan