Deezer HiFi Hadir Untuk Android, iOS, Dan Pelayar Web

Untuk anda pendengar muzik tegar yang mahu mendengar lagu dalam kualiti audio yang tertinggi, kini anda boleh melanggan servis Deezer HiFi terus dari peranti Android, iOS dan juga pelayar web. Terdapat 2 pelan utama Deezer iaitu Deezer Premium dan Deezer HiFi di mana hanya pelan Deezer HiFi sahaja yang menawarkan kualiti audio tertinggi FLAC. Sebelum ini, pelan HiFi tersebut hanya tersedia pada aplikasi Windows dan macOS sahaja dan hanya sekarang baru dikembangkan kepada platform lain.



Untuk langganan, anda boleh melanggan pelan HiFi ini pada harga RM29.99 sebulan, serta RM14.90 sebulan untuk pelan Premium. Terdapat juga pelan Family untuk langganan berjumlah 6 orang pada harga RM22.35 sebulan. Berdasarkan deskripsi, pelan Family hanya akan mendapatkan kualiti audio pada tahap Premium sahaja, bukannya HiFi.



Untuk pelan Premium dan HiFi, pengguna boleh memperoleh 30 hari percuma penggunaan. Selain menawarkan kualiti audio FLAC, pengguna tidak akan terganggu dengan iklan dan juga boleh memuat turun untuk didengar secara offline. Penstriman muzik ini adalah sama seperti apa yang Spotify, Tidal, dan YouTube Music tawarkan. Namun, ia disifat bersaing secara dekat dengan Tidal di mana aplikasi tersebut juga turut menawarkan kualiti audio format FLAC.

Sumber: Deezer