Dayu - Subsidiari Baharu Xiaomi Yang Memfokuskan Pembangunan Semikonduktor

Ketika ini, beberapa pengeluar telah pun menggunakan cip pemprosesan mereka sendiri pada peranti yang dihasilkan. Antaranya ialah Samsung(Exynos), Huawei(HiSilicon) dan Apple(A-series).

Tidak lama lagi, Xiaomi mungkin akan menyertai senarai berkenaan. Ini kerana mereka telahpun melancarkan subsidiari terbaru mereka, Dayu baru-baru ini.

Syarikat tersebut dijangka akan lebih memfokuskan kepada pembangunan teknologi AIoT(Artificial Intelligence of Things) seperti pembesar suara pintar, peralatan rumah pintar dan sebagainya.



Sebelum ini, Xiaomi pernah hadir dengan subsidiari yang hampir serupa pada tahun 2014 iaitu Pinecone. Menurut sumber, Pinecone akan distruktur semula dan akan terus membangunkan pemproses komputer mudah alih bagi telefon pintar.

Xiaomi akan memegang 25% daripada pegangan syarikat Dayu manakala 75% lagi akan dimiliki oleh pekerja syarikat.

Arena IoT dijangka akan terus membangun di masa akan datang memandangkan teknologi 5G kini sudah pun memasuki fasa-fasa akhir penyediaannya.

 

Sumber: TechNode