Data Peribadi Peranti Samsung Selebriti Korea Digodam - Pelakon, Bintang Kpop Antara Yang Terlibat

Kebiasaannya, selebriti menjadi sasaran utama penjenayah siber yang mengambil kesempatan di atas populariti selebriti untuk kepentingan mereka sendiri.

Nampaknya ini adalah apa yang berlaku di Korea Utara. Terdapat laporan baru-baru ini mendakwa peranti Samsung Galaxy dari pelbagai selebriti telah digodam. Penggodam kemudiannya telah mengugut mangsa untuk mendedahkan maklumat dan data peribadi termasuklah kenalan, gambar, video, dan perbualan kepada umum jika tebusan tidak diberikan.

Penggodam ini berjaya memecah masuk Samsung Cloud untuk menggali maklumat mangsa. Mereka yang melakukan jenayah ini meminta tebusan yang bermula dari 50 juta Won (~RM175 ribu) sehinggalah kepada 1 billion Won (~RM3.5 juta).

Media tempatan melaporkan senarai selebriti yang terlibat termasuklah pelakon popular, penyanyi, pengaraf filem, chef dan ramai lagi. Salah satu laporan awal mengenai insiden ini mengesahkan pelakon Zhu Zhenmo antara mangsa terawal yang menerima ugutan. Namun, disebabkan beliau tidak menghiraukan ugutan penggodam, perbualan peribadinya telah didedahkan di internet.

Bagaimana godaman ini boleh berlaku?


Dikatakan godaman ini adalah berpunca dari penggunaan Samsung Cloud itu sendiri. Ini adalah disebabkan penggunaan kata laluan yang sama dengan akaun lain dan juga tidak menggunakan fungsi 2-factor-authentication (2FA).

Dengan mengaktifkan fungsi 2FA, penggodam akan lebih sukar untuk mengakses akaun walaupun kata laluan sudah diketahui. Sebagai pengguna yang bijak, kita semua sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengaktifkan fungsi 2FA untuk kesemua akaun yang digunakan.

Buat masa ini, Samsung masih belum memberikan mana-mana pernyataan rasmi berhubung insiden ini.

Sumber: IThome