Data Peribadi Pengguna MySejahtera Perlu Dihapuskan Selepas 6 Bulan PKP Tamat

Pengguna berdaftar aplikasi MySejahtera kini telah mencecah 15.1 juta. Ia merupakan sejumlah data yang besar dan pencerobohan data mungkin akan berlaku jika keselamatan data ini tidak dilindungi sebaiknya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini berkata, kerajaan dalam proses perbincangan bersama agensi serta pihak berkaitan bagi meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709). Ia berikutan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak mengenai jaminan perlindungan data peribadi pengguna.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi pada 29 Mei lepas telah mengeluarkan tatacara pengendalian pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan data peribadi oleh premis perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

data MySejahtera

Antara yang digariskan termasuk premis perniagaan hanya perlu merekodkan nama, nombor telefon, tarikh serta masa kehadiran pengunjung. Selain itu, setiap perniagaan juga perlu memaparkan notis jelas mengenai tujuan pengumpulan data peribadi, dan tempoh masa penyimpanan data peribadi adalah sehingga selepas enam bulan PKP ditamatkan.

Setiap premis perniagaan mesti memadam atau memusnahkan data peribadi yang diberikan pelanggan secara kekal agar tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: BERNAMA