Dagang Net E-Scroll Bantu Banteras Pemalsuan Sijil Akademik

Dalam beberapa tahun ini, isu sijil akademik palsu telah mencetus kontroversi banyak pihak, terutama sekali apabila ia membabitkan golongan ternama. Kisah ijazah palsu banyak disiarkan di media-media tempatan dan menjadi perbualan sehingga ke hari ini.

Antara jalan penyelesaian yang diambil untuk mengatasi isu pemalsuan sijil ini adalah dengan wujudnya sistem e-skrol. Ia menawarkan penyedia pendidikan, pekerja, pelajar dan pihak lain segulung sijil rasmi yang memberi bukti kesahihan sesebuah pengijazahan misalnya. Tidak seperti dokumen berasaskan kertas tradisional yang boleh dipalsukan, e-skrol mempunyai sijil yang unik serta dicap pada masa yang nyata.

Dagang Net eScroll merupakan sebuah aplikasi web diperkasakan lejer digital terbuka untuk mengesahkan sijil, kini boleh digunakan oleh majikan, graduan, universiti dan penyedia latihan untuk mengesahkan sijil akademik dan latihan.

"Aplikasi ini turut menyediakan sijil dengan tandatangan yang unik yang dapat membanteras pemalsuan," kata Zainal Abidin Mohd Jais, Ketua Lejer Digital Terbuka DNeX Group kepada Bernama.

Setiap sijil itu akan ditandakan dengan kod QR yang dipautkan kepada platform lejer digital terbuka untuk memastikan pangkalan data yang selamat dan tidak mudah dipalsukan. Ia secara tidak langsung dapat memudahkan proses ini dengan lebih telus.

Dalam pada masa yang sama, lejer digital terbuka ini dijangka merevolusikan bukti kelayakan akademik kerana ia membolehkan individu untuk memiliki dan berkongsi rekod rasmi mereka sendiri. "Rekod digital yang didaftarkan di lejer digital terbuka ditandatangani secara kriptografi dan tidak boleh diubah untuk mengelakkan penipuan," tambahnya lagi.

DNeX Group juga meletakkan hasrat untuk bekerjsama dengan beberapa syarikat terkemuka, khususnya yang meletakkan hasrat untuk menambah baik proses pengambilan pekerja. Usaha ini bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat lain melalui satu proses kendalian sijil yang berkesan.

 

Sumber: Bernama

 

Berkaitan