CyberSecurity Malaysia Memperkenalkan Pengesan Perisian Hasad Automatik CMERP

CMERP dibangunkan oleh pakar tempatan melalui kolaborasi agensi awam dan firma swasta.


Semalam, CyberSecurity Malaysia telah memperkenalkan pengesan perisian hasad automatik dan sistem amaran yang dipanggil sebagai Coordinated Malware Eradication and Remediation Platform atau singkatannya CMERP.

Pengesan dan sistem amaran itu dibangunkan secara bersama menggunakan kepakaran tempatan menerusi kolaborasi antara agensi awam dan firma swasta.

Ia diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo di pelancaran Anugerah, Persidangan & Pameran (CSM-ACE) semalam.

CMERP bukan sahaja dibangunkan dengan ciri pintar yang dapat mengesan dan memberi amaran awal kepada pengguna, tetapi juga mampu menyekat daripada berlakunya penyebaran perisian hasad.

CMERP diharapkan akan dapat meningkatkan keselamatan data organisasi daripada penggodaman yang kini menjadi isu global.

Untuk pengetahuan anda, sejumlah 8,808 kes jenayah siber yang terdiri daripada love scam, e-Trade (pembelian atas talian) dan penipuan telekomunikasi telah direkodkan hanya dalam tujuh bulan pertama 2019 sahaja yang melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM331 juta.

Sumber: Bernama

Berkaitan