CyberSecurity Malaysia, Celcom Dan Huawei Bekerjasama Untuk Pembangunan 5G

CyberSecurity Malaysia (CSM), Celcom dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd telah menjalinkan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan matlamat pembelajaran, pengurusan, menangani serta mengurangkan ancaman yang berkaitan dengan keselamatan 5G.

Bagi mencapai objektif kerjasama tersebut, sebuah Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G akan dibina dalam premis CyberSecurity Malaysia di Cyberjaya.

5G Malaysia Kapsyen: Sumber gambar dari BERNAMA


Makmal ini bukan sahaja bertujuan melaksanakan kes ujian berkaitan Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan keselamatan telekomunikasi tetapi juga bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menyahut serangan siber yang berkaitan dengan 5G.

Kemudahan ini akan merangkumi ekosistem pelantar ujian 5G yang komprehensif, di mana ia menggabungkan teknologi seperti rangkaian akses radio 5G (RAN), Edge Network, Core Network, Aplikasi Awan serta peranti Pengguna Akhir yang dilengkapi dengan alat dan peralatan ujian keselamatan.

Inisiatif ini juga bertepatan dengan pengumuman Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana 5G dijangka akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

Sumber: BERNAMA