Cristiano Ronaldo Bakal Mempunyai Rancangan Realiti Sendiri Di Facebook

Demam Piala Dunia masih lagi menghantui peminat bola sepak di seluruh dunia ketika ini. Beberapa kejutan telah berlaku apabila terdapat beberapa pasukan pilihan yang tersingkir awal termasuklah pasukan yang diwakili oleh bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo iaitu Portugal.

Ronaldo kelihatan sangat kecewa selepas pasukannya tumpas 2-1 kepada Uruguay pada pusingan 16 terakhir minggu lepas. Namun, kekecewaan itu mungkin boleh dilupakan seketika apabila beliau ditawarkan kontrak bernilai $10 juta(~RM 40.4 juta) oleh Facebook untuk tampil dalam sebuah rancangan realitinya sendiri.


Kredit : SPORTbible


Rancangan realiti 13 episod itu akan diterbitkan oleh syarikat Matador Content dan Religion of Sports. Menurut laporan Variety, rancangan tersebut akan disiarkan secara eksklusif melalui Watch yang merupakan platform video eksklusif bagi Facebook.

Walaupun tiada sebarang perjanjian yang sudah dimeterai, peminat Ronaldo sudah mula berasa teruja untuk menyaksikan bintang kesayangan mereka ini muncul dalam sebuah rancangan realiti. Untuk pengetahuan, Ronaldo merupakan atlit yang mempunyai pengikut paling ramai di Facebook, iaitu seramai 120 juta orang.

Bagaimanapun, peminat Ronaldo di Malaysia mungkin tidak dapat menonton rancangan ini kerana Facebook Watch hanya tersedia bagi pengguna di Amerika Syarikat sahaja buat masa ini. Diharapkan Facebook akan membawa platform video mereka ini ke pasaran global pada masa hadapan.

Sumber