COD Mobile Akan Dipertandingkan Di Garena World 2020 Thailand

Bagi para pemain ''gaming'' yang tegar sudah tentu tahu mengenai permainan Call of Duty. Baru-baru ini, Garena telah mengumumkan Call of Duty Mobile-Garena (CODM) akan diadakan di Garena World 2020 bertempat di Thailand.

Sebanyak lapan pasukan akan dijemput untuk bertarung dalam kejohanan ini. Ia akan melibatkan dua pasukan dari Thailand, dua pasukan dari Indonesia dan selebihnya dari Taiwan, Singapura, Malaysia dan Filipina. Pasukan-pasukan ini akan dipilih melalui peringkat kelayakan yang diadakan di negara masing-masing.

call of duty

Pertandingan membabitkan permainan Call of Duty Mobile-Garena yang bakal dianjurkan ini merupakan kejohanan jemputan kali pertama untuk rantau Asia Tenggara. Dilancarkan pada 1 Oktober tahun lalu,  CODM sudah berjaya memenangi anugerah seperti Best Mobile Game pada acara The Game Awards dan Google Play's Best Game of 2019.

Sejak pelancarannya juga, CODM banyak menganjurkan pertandingan sukan di seluruh Asia Tenggara. Di Thailand, hampir 1,000 pasukan mendaftar bagi kejohanan Mission One dalam talian. Di Indonesia pula, lebih 3,500 pemain berkumpul di EXGCon 2019 untuk mengambil bahagian dalam Major Series Grand Finals. 

Untuk maklumat lanjut mengenai kelayakan serantau, anda boleh layari laman rasmi Facebook Call of Duty Mobile-Garena.