Cloudflare Tambah Ciri VPN Pada Aplikasi 1.1.1.1 DNS

Setahun yang lalu, Cloudflare hadir menampilkan aplikasi 1.1.1.1 DNS yang menjanjikan pelayaran internet lebih laju melalui peningkatan dalam pengendalian DNS.



Kini, menambahbaik lagi aplikasi berkenaan adalah dengan penyertaan ciri VPN.

Dikenali sebagai Warp, Cloudflare membangunkannya untuk dioptimumkan pada penggunaan telefon pintar. Ia menggunakan protokol WireGuard VPN yang mana dikatakan lebih jimat bateri dan penggunaan data berbanding aplikasi VPN lain.



Dari segi sekuriti, Cloudflare menyatakan perkhidmatan itu tidak merekod data log identiti pengguna atau menggunakannya untuk tujuan iklan.

Aplikasi 1.1.1.1 DNS sedia dimuat turun pengguna Android dan iOS tetapi untuk menggunakan Warp VPN, Cloudflare baru sahaja membuka senarai tunggu dan akan diberitahu sejurus perkhidmatan itu sedia digunakan.