Ciri Privasi iOS 14 Mendedahkan Aktiviti Sebalik Tabir Aplikasi TikTok Yang Meragukan

TikTok kini tidak lagi melihat apa yang disalin pengguna dari aplikasi lain.


iOS 14 yang baru diumumkan oleh Apple masih lagi dalam peringkat beta. Walaubagaimanapun, ciri privasi baru di iOS 14 itu telah mendedahkan aktiviti disebalik tabir yang meragukan melibatkan beberapa aplikasi.

Secara khususnya adalah aplikasi sosial popular iaitu TikTok. Ciri privasi iOS 14 mendedahkan bahawa aplikasi TikTok melihat item yang disalin pengguna dari aplikasi-aplikasi lain seperti mesej teks yang disimpan di dalam clipboard.

Penemuan tersebut didedahkan oleh laman Telegraph baru-baru ini.

Susulan daripada pendedahan itu, TikTok telah respon dan memberitahu laman tersebut bahawa mereka tidak mengutip data pengguna daripada data yang disimpan di dalam clipboard.

Sebaliknya ia adalah ciri bagi menyekat spam.

"For TikTok, this was triggered by a feature designed to identify repetitive, spammy behavior. We have already submitted an updated version of the app to the App Store removing the anti-spam feature to eliminate any potential confusion. TikTok is committed to protecting users’ privacy and being transparent about how our app works."

Menurut dalam laporan Telegraph itu juga, bukan aplikasi TikTok sahaja yang melihat data yang disalin ke dalam clipboard, tetapi aplikasi lain termasuklah AccuWeather, Overstock, AliExpress, Call of Duty Mobile, Patreon dan Google News juga didapati turut melakukannya.

Ini menimbulkan tanda tanya mengapa aplikasi-aplikasi tersebut perlu melihat apa yang disalin penggunanya daripada aplikasi lain.

Apple kini menambah baik lagi ciri privasi untuk pengguna peranti iOS. Versi terkini iOS 14 yang masih dalam peringkat pembangunan hanya boleh diuji oleh para pembangun berdaftar sahaja buat masa ini.

Versi penuh iOS tersebut untuk semua pengguna iPhone pula hanya dijangka akan ditawarkan dalam bulan September atau Oktober nanti.

Sumber: 9to5mac