Ciri Pembayaran Melalui WhatsApp Digantung Bank Pusat Brazil

Diperkenalkan seminggu lebih yang lalu, ciri pembayaran digital yang diketengahkan WhatsApp pada pengguna di Brazil telah digantung. Dengan adanya ciri ini, ia memudahkan pengguna untuk melakukan transaksi pembayaran atau pemindahan wang secara dalam talian tanpa perlu meninggalkan ruang sembang tersebut. Menariknya juga tiada sebarang caj tambahan dikenakan untuk urusan tersebut.

Namun dalam perkembangan terbaru, ciri pembayaran digital itu telah digantung oleh Bank Pusat Brazil. Langkah tersebut dibuat atas beberapa faktor seperti situasi persaingan, ketelusan dan privasi.
“preserve an adequate competitive environment, that ensures the functioning of a payment system that’s interchangeable, fast, secure, transparent, open and cheap,” petikan kenyataan Bank Pusat Brazil melalui laporan Bloomberg.

Selain itu, Mastercard Inc. dan Visa Inc juga telah diarahkan untuk menghentikan sokongan transaksi pada aplikasi pemesejan popular tersebut.

Terdahulu, WhatsApp menyatakan ciri ini akan ditawarkan dengan lebih meluas kepada pengguna di negara lain tetapi tidak mendedahkan tarikh spesifik penawaran. Sebelum diperkenalkan secara rasmi di Brazil, ciri pembayaran digital tersebut telah diuji terlebih dahulu dalam tempoh dua tahun termasuk di dua buah negara lain iaitu Mexico dan India.

Sumber: Bloomberg