Cip Bluetooth Terkini Qualcomm Menawarkan Fungsi Pembatalan Hingar Aktif Untuk Fon Telinga Harga Bajet

Qualcomm hari ini telah memperkenalkan 2 jenis cip Bluetooth untuk fon telinga tanpa wayar TWS. Satu ditujukan untuk kelas premium, QCC514x dan satu lagi untuk kelas mampu milik ataupun bajet, QCC304x.

Kedua-dua cip ini menyokong teknologi TrueWireless Mirroring yang baharu dari Qualcomm. Teknologi ini berfungsi dengan menyambungkan peranti ke salah satu dari fon telinga, kemudiannya ia akan 'mencerminkan' bunyi yang didengar kepada pasangan fon telinga yang satu lagi. Perkara menarik mengenai teknologi ini adalah ia direka supaya akan ada hanya satu sambungan Bluetooth fon telinga sahaja, bukannya '2' fon telinga yang berasingan.

Fungsi utama lain dengan cip ini adalah teknologi Hybrid ANC iaitu pembatalan aktif hingar hibrid. Bukan secara pasif kerana cip ini turut dimuatkan dengan integrasi perkakas ANC. Jadi ia boleh digunakan bukan sahaja dalam penerbangan, malah ketika bersukan, kerja dan lain-lain lagi yang memerlukan suasana lebih senyap untuk membuat kerja.

Apa yang membezakan antara kedua cip ini adalah untuk kelas premium QCC514x menawarkan fungsi Always on Voice yang boleh digunakan untuk menyeru pembantu maya seperti Google Assistant, Alexa ataupun Siri. Pada kelas mampu milik QCC304x pula, pengeluar perlu menyertakan butang khas untuk mengaktifkan pembantu maya kerana ia tidak menyokong fungsi Always on Voice tersebut.

Ketika ini, Qualcomm tidak menyatakan bila cip ini akan mula disertakan pada fon telinga pengeluar. Sekadar jangkaan, mungkin kita akan mula melihat cip Bluetooth baharu ini akan hadir pada perkakas audio tahun hadapan.

Sumber: Qualcomm

Berkaitan