CIMB Nyatakan Sistem Kad Debit Dan Kredit Sudah Dibaik Pulih

CIMB Bank menerusi perkongsian di Facebook telah memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatan perbankan mereka mengalami masalah teknikal berkaitan sistem pembayaran kad . Isu yang juga didakwa melibatkan CIMB Islamic ini telah mula mendapat perhatian pengguna sejak pagi tadi. Dalam pengumuman yang sama, pihak bank itu juga memohon maaf dan meyakinkan semua bahawa sistem teras perbankan serta data pelanggan akan terjamin.

Antara yang terawal membuat kicauan mengenai perkara itu di Twitter adalah Malaysia Airlines yang menyatakan CIMB sedang menghadapi isu teknikal pada sistem pembayaran kad. Syarikat penerbangan tersebut turut menasihatkan pengguna untuk membuat bayaran melalui CIMBClicks atau mencari alternatif pembayaran yang lain.


Ia juga melibatkan platform beli-belah dalam talian Shopee dan salah seorang pengguna, @ahmdnazrafq mengadu beliau tidak dapat menggunakan kad debit CIMB, dimana sejumlah wang telah ditolak walaupun pembayaran dinyatakan gagal.





Memetik kicauan dari @CIMB_Assists pula, akaun tersebut menyatakan sistem kad kredit dan debit mereka sudah beroperasi seperti sediakala.



Berdasarkan kicauan-kicauan lain di Twitter, terdapat juga pengguna yang mendakwa perkhidmatan CIMBClicks serta ATM CIMB mengalami masalah. Lebih kurang seminggu yang lalu, CIMB mengalami masalah akses aplikasi CIMBClicks yang berlarutan sehingga dua hari dan mengumumkan ia sudah dibaik pulih pada hari berikutnya.