China Rekrut 31 Remaja Genius Untuk Program Sistem Senjata Pintar

Seramai 27 orang remaja lelaki dan 4 remaja perempuan telah dipilih untuk program eksperimen sistem senjata pintar  di Beijing Institute of Technology (BIT).



Kesemuanya berumur bawah 18 tahun dan telah direkrut dari sekolah tinggi dan akan dilatih sebagai saintis senjata AI termuda di dunia.

Menggarap laporan dari South China Morning Post, China sedang bersaing dengan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain dalam membangunkan aplikasi AI yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Antara yang disebutkan dalam laporan adalah kapal selam nuklear dengan cip yang berkebolehan belajar sendiri hinggalah kepada robot mikroskopik yang boleh menyusup masuk ke dalam saluran darah manusia.

Laporan turut menyatakan, seorang profesor dari BIT berkata yang remaja-remaja tersebut pintar tetapi itu tidak mencukupi. Mereka perlu berfikiran kreatif dan sanggup berjuang serta gigih menghadapi cabaran disamping semangat untuk membangunkan senjata baru serta patriotik.

Setiap seorang remaja yang terpilih akan dipantau oleh dua saintis senjata yang berpengalaman, seorang daripadanya mahir tentang akademik dan seorang lagi dari industri senjata.