China Beri Peringatan Kepada Perancis Berkenaan Pengecualian Huawei Dari Pembangunan 5G

Setakat 12 Disember 2019 yang lalu, Australia, New Zealand, Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat sedia menyekat Huawei dalam pembangunan 5G di dalam negara.

Kini, laporan daripada Bloomberg pula menyatakan jurucakap Kedutaan Republik Rakyat China di Perancis telah memberi peringatan kepada negara itu berkenaan pembangunan 5G di sana.

Menerusi kenyataan yang diterbitkan pada laman kedutaan, Perancis digesa untuk lebih telus dan memberi layanan yang sama rata kepada semua syarikat perkakasan telekomunikasi.

Dinyatakan juga, perbezaan layanan berdasarkan negara asal syarikat boleh mewujudkan diskriminasi secara terang-terangan. Ia sekaligus bertentangan dengan prinsip-prinsip ekonomi dan perdagangan bebas.

Kedutaan China turut menyebut, syarikat Eropah seperti Nokia dan Ericsson diberi layanan adil untuk pembangunan rangkaian 5G di negara tembok besar itu. Menambah, mereka tidak mahu pembangunan rangkaian 5G kendalian syarikat Eropah di China terjejas akibat diskriminasi serta fahaman perlindungan Perancis dan negara-negara Eropah terhadap Huawei.

Menurut Bloomberg, kenyataan ini hadir menjelang penawaran spektrum 5G di Perancis yang akan bermula pada bulan April depan. Difahamkan pengendali rangkaian utama negara itu, Orange SA akan bekerjasama dengan Nokia dan Ericsson. Sementara itu, Altice dan Bouygues yang bergantung kepada Huawei untuk rangkaian 4G masih belum menamakan sebarang syarikat kerjasama bagi penawaran 5G.

Amerik Syarikat sedia memberi tekanan kepada sekutunya di Eropah supaya menyekat Huawei atas alasan pengintipan. Dalam pada itu, kedutaan China mempertahankan bahawa perkakasan 5G Huawei adalah selamat.

Sumber: Kedutaan Republik Rakyat China di Republik Perancis dan Bloomberg