Pada acara CES 2021 yang diadakan secara digital untuk tahun ini, Razer telah memperlihatkan pelitup muka N95 yang dinamakan sebagai Project Hazel. Razer mendakwa prototaip ini merupakan pelitup muka pintar di dunia yang direka dengan beberapa ciri utama untuk memastikan keselamatan serta kualiti terbaik.
Prototaip ini dihasilkan daripada plastik kitar semula dengan luaran berkilat yang mempunyai ketahanan kalis air dan tahan calar. Warna lutsinar pula membolehkan lip-reading dan melihat ekspresi wajah apabila bersembang dengan seseorang.
Ia juga dilengkapi teknologi VoiceAmp dengan mikrofon dan amplifier terbina untuk memastikan pertuturan dilontarkan dengan jelas walaupun bertopeng.
Sudah tentu, tidak lengkap produk Razer jika hadir tanpa sokongan Chroma RGB LED. Apabila berada dalam keadaan gelap, lampu RGB ini akan diaktifkan secara automatik.
Setiap Project Hazel akan disertakan kerangka pengecasan yang boleh mensterilkan pelitup muka dengan sinar UV ketika tidak digunakan. Bagaimanapun, buat masa ini ia masih di peringkat konsep dan belum diketahui bila akan dikomersialkan.