CES 2017: Xiaomi - Mi TV4 Lebih Nipis Berbanding iPhone 7

Pada upacara CES 2017 kali ini, Xiaomi tidak ketinggalan untuk menyertai dan memperkenalkan produk teknologi baru mereka. Antara produk yang diketengahkan adalah Mi TV4 yang dikatakan mempunyai ketebalan hanya 4.98mm iaitu kira kira 30 peratus lagi nipis berbanding iPhone 7. Mereka juga memperkenalkan Mi Router HD selain memperkenalkan varian warna putih untuk telefon pintar Mi Mix.

Hugo Barra - Naib Presiden Xiaomi Global - menyatakan Mi TV4 merupakan TV pertama mereka yang menggunakan teknologi audio dari Dolby Atmos yang mana pengguna boleh merasai kualiti tontonan sama seperti kualiti di panggung wayang. TV ini hadir dengan 3 varian saiz iaitu 49, 55 dan 65 inci. Yang menariknya TV ini merupakan produk modular, yang mana pengguna boleh menaiktaraf dengan menukarkan motherboard atau komponen dalaman yang lain. Ianya seperti pengguna komputer dekstop menaiktaraf komputer mereka dengan menukarkan komponen dalaman komputer tersebut.

Mi TV4 ini akan hadir berserta dengan Mi TV Bar, 2 pembesar suara satelit tanpa wayar dan juga subwoofer. Xiaomi juga telah memperkenalkan Mi Port iaitu kabel yang akan menyambungkan Mi TV4 dengan Mi TV Bar. Dengan penyambungan ini, tontonan di Mi TV4 akan menjadi lebih jelas dan berkualiti. Tiada sebarang pengumuman harga dibuat untuk Mi TV4 ini namun Hugo Barra menjanjikan ianya akan dijual pada bawah $2,000 (RM 8,945). Xiaomi juga mengesahkan akan terdapat model Mi TV4 yang tidak menggunakan teknologi audio dari Dolby Atmos dan harganya dijangkakan berharga $1,500 (RM 6,710).

Sumber: Gadgets360