CES 2017: Jam Pintar Omron Mampu Ukur Tekanan Darah

Jam tangan pintar kini semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Ada syarikat yang menggeluarkan jam tangan pintar dengan fungsi asas seperti mengira langkah perjalanan seharian sehinggalah teknologi membaca apa yang terjadi ketika anda sedang tidur. Omron Project Zero 2.0 merupakan sebuah jam tangan pintar pertama di dunia yang mampu membaca tahap tekanan darah anda.

Seperti yang kita sudah maklum, tekanan darah tinggi merupakan antara penyebab kepada penyakit pembunuh di Malaysia. Kadang-kala penghidap darah tinggi tidak perasan yang mereka mengalami tekanan darah tinggi sehinggalah mereka di dapati menghidap penyakit seperti serangan jantung, angin ahmar dan lain-lain.

Omron Project Zero 2.0 berfungsi sama seperti sphygmomanometer, alat pengukur tekanan darah yang biasa kita lihat di klinik mahupun hospital. Apabila fungsi mengukur tekanan darah diaktifkan, tali jam tangan pintar itu akan mengembang seperti lilitan getah sphygmomanometer. Masa yang diambil untuk mengukur sekitar 35-40 saat dan selepas itu jam tangan pintar ini akan memaparkan bacaan tekanan darah anda.

omron

Selain fungsi membaca tekanan darah, Omron turut dilengkapi dengan pemantau kadar jantung optik, dan berupaya mengesan aktiviti harian seperti berjalan, berlari dan jumlah pembakaran kalori.

Ia juga mempunyai fungsi asas seperti jam tangan pintar yang lain seperti, teks pesanan ringkas dan notifikasi emel. Jam tangan pintar ini sedang berada dalam fasa akhir mendapat kelulusan FDA (Food and Drug Administration). Dikhabarkan ia akan mula dipasarkan pada penghujung 2017 dan menurut laman Hardware Zone Malaysia, harga jualan jam tangan pintar Omron ini dalam lingkungan ~RM1,432.

Sumber: Hardware Zone Malaysia