CEO Huawei Menyatakan, Pengaplikasian HongmengOS Adalah Lebih Meluas Berbanding Android

Aplikasi sistem operasi ini tidak setakat hanya pada telefon pintar sahaja.


Dalam temu ramah antara CEO Huawei, Ren Zhengfei bersama dengan salah sebuah majalah terbitan dari Perancis, beliau menyatakan bahawa sistem operasi yang dibangunkan mereka iaitu HongmengOS boleh diaplikasikan bukan hanya pada telefon pintar sahaja, tetapi juga turut boleh digunakan pada peranti seperti router (penghala), suis rangkain, tablet, komputer mahupun pusat data.

Daripada apa yang didakwa oleh CEO Huawei ini, sistem HongmengOS hampir menyerupai sistem operasi terbaru yang sedang dibangunkan secara diam-diam oleh Google ketika ini iaitu Fuchsia OS.



Tidak setakat itu, beliau juga mendakwa HongmengOS bukan sahaja akan jauh lebih pantas daripada sistem operasi Android, tetapi juga lebih pantas daripada sistem operasi macOS.

Atau secara spesifiknya, prestasi HongmengOS akan lebih pantas sehingga 5ms (mili saat) berbanding sistem operasi komputer macOS.

Sebelum ini terdapat dakwaan mengatakan bahawa sistem operasi Hongmeng yang dibangunkan Huawei adalah lebih 60% lebih pantas daripada sistem operasi Android.

Beliau menambah, walaupun A.S ketika sudah berlembut dengan Huawei, pembangunan HongmengOS akan tetap diteruskan.

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa disebalik pengumumanTrump menarik sekatan yang dikenakan A.S  ke atas Huawei, nama syarikat gergasi teknologi China itu masih kekal di dalam senarai entiti di  Jabatan Perdagangan A.S.

Sumber: GSMARENA