Celcom Dan Maxis Berjaya Uji 5G Melalui Perkongsian Rangkaian Akses Radio

Celcom dan Maxis baru-baru ini berjaya menjalankan percubaan 5G Multi Operator Core Network (MOCN) pertama di Asia Tenggara. Ia mencapai kelajuan puncak melebihi 1.1Gbps dalam persekitaran luar di tapak percubaan Langkawi, Kedah.

Percubaan itu telah dijalankan pada Disember 2019 di tapak 5G Maxis di Seaview Hotel, Kuah dan tapak 5G Celcom di The Westin Langkawi Resort & Spa. Percubaan ini membolehkan kedua-dua pengguna Celcom dan Maxis di lokasi tersebut untuk mengakses rangkaian 5G yang dihoskan oleh pengendali tersebut, seolah-olah mereka berada di rangkaian asal mereka sendiri.

celcom maxis 5g

MOCN merupakan mekanisme Radio Active Network (RAN) yang membolehkan dua rangkaian teras berlainan untuk berkongsi RAN yang sama. Dengan menggunakan MOCN, Celcom dan Maxis dapat meluaskan liputan 5G di tapak sedia-ada dengan lebih cepat. Seterusnya menunjukkan kebolehlaksanaan perkongsian infrastruktur 5G apabila spektrum diperuntukkan untuk kegunaan komersil kelak.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat telekomunikasi dalam merealisasikan pengalaman yang lancar dalam perkongsian aktif infrastruktur 5G.

Ia juga menunjukkan keupayaan pelaksanaan serta ketangkasan kedua-dua pihak dalam menyahut kemajuan teknologi untuk pembangunan ekosistem digital negara. Percubaan aktif RAN menggunakan rangkaian 5G Standalone akan dijalankan kedua-dua pengendali ini pada suku pertama 2020.