Cara Untuk Dapatkan Kembali Akaun WhatsApp Jika Dicuri Atau Telefon Hilang

Hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan kenyataan yang menyarankan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik penipuan yang bertujuan untuk mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

Taktik ini menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.

Selain itu, mungkin ada dalam kalangan pengguna yang kehilangan telefon pintar, di mana ia mengandungi akaun WhatsApp. Namun, tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan kembali akaun WhatsApp.

Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh anda ikuti.

Akaun WhatsApp dicuri


Sudah tentu, anda tidak sepatutnya berkongsi kod pengesahan WhatsApp dengan orang lain, walaupun rakan atau keluarga. Akan tetapi, jika anda diperdaya untuk berkongsi kod dan kehilangan akses kepada akaun WhatsApp, ikuti langkah ini untuk mendapatkan semula akaun.

1. Langkah pertama, daftar masuk ke WhatsApp dengan nombor telefon anda dan sahkan nombor telefon dengan memasukkan kod 6 digit yang diterima melalui SMS.



2. Sebaik sahaja kod pengesahan 6 digit dimasukkan, individu yang menggunakan akaun anda sebelum ini akan dilog keluar secara automatik.

Bagaimanapun, anda mungkin diminta untuk memberikan kod pengesahan dua langkah (two-step verification) yang telah diaktifkan oleh individu berkenaan.

3. Jika terdapat kod pengesahan dua langkah, anda perlu menunggu 7 hari sebelum boleh log masuk tanpa kod pengesahan dua langkah itu.

Akan tetapi, tidak perlu risau kerana individu yang menggunakan akaun anda telah pun dilog keluar daripada akaun sebaik sahaja anda memasukkan kod pengesahan 6 digit.

Sementara itu, jika anda mempunyai akses kepada akaun WhatsApp dan mengesyaki seseorang menggunakan akaun melalui WhatsApp Web/Desktop, log keluar boleh dilakukan melalui WhatsApp > Settings atau tiga titik > WhatsApp Web/Desktop > Log out from all device. 

Telefon hilang atau dicuri


Jika telefon hilang atau dicuri, anda mungkin risau jika ada individu lain akan menggunakan akaun WhatsApp anda. Berikut adalah apa yang perlu dilakukan.

1. Kunci kad SIM anda. Hubungi segera syarikat telekomunikasi yang berkaitan untuk mengunci kad SIM anda. Dengan itu, pengesahan tidak dapat dilakukan dengan telefon tersebut.

2. Seterusnya, anda mempunyai dua pilihan iaitu:

  • Gunakan kad SIM baru dengan nombor yang sama (gantian SIM baru) untuk mengaktifkan WhatsApp pada telefon baru anda. Ini adalah cara yang paling pantas untuk menyahaktifkan akaun pada telefon yang telah dicuri atau hilang. WhatsApp hanya dapat diaktifkan dengan satu nombor telefon pada satu masa.


ATAU




  • E-mel kepada WhatsApp dengan tajuk "Hilang/Dicuri: Sila nyahaktifkan akaun saya" dan sertakan nombor telefon anda dalam format antarabangsa seperti +60xx xxx xxxx.


Perlu diketahui, akaun WhatsApp masih boleh digunakan pada Wi-Fi jika anda tidak menghubungi pihak WhatsApp untuk menyahaktifkan akaun atau menggantikan kad SIM baru.

Itu sahaja tips pada kali ini. Semoga bermanfaat.