Cara Pindahkan Lagu Dari Spotify Ke Apple Music Pada iPhone

Jika dulu laman seperti 4shared menjadi tempat utama pencarian lagu dan memuat turun secara haram namun kini dengan inisiatif Google dan beberapa agensi kerajaan, aktiviti cetak rompak sebegini di internet tidak lagi semudah dulu. Aplikasi penstriman muzik seperti Spotify, Joox dan Apple Music semakin mendapat tempat di hati pengguna sejak akhir-akhir ini kerana fungsi eksklusif seperti strim pada kualiti tinggi dan paparan lirik selain turut memberikan kesan baik pada penyanyi dan industri muzik secara global.

Spotify juga telah mengumumkan mereka mempunyai sekurang-kurangnya 113 juta pengguna berbayar setakat Oktober 2019. Google melalui YouTube juga sedia memperkenalkan YouTube Music bagi menyaingi pencabar lain. Ini membuktikan aplikasi penstriman adalah antara platform penting di internet pada dekad ini dan akan datang.

Namun, bagaimana jika anda ingin berubah angin atau ingin mencuba kesemua aplikasi ini? Bagaimana jika anda menggunakan iPhone dan ingin beralih daripada Spotify ke Apple Music atau sebaliknya? Kali ini kami ingin berkongsi bagaimana anda boleh melakukannya dengan mudah melalui aplikasi SongShift. Bagi pengguna Android, anda perlu menggunakan aplikasi lain kerana aplikasi ini hanya tersedia di App Store sahaja.

Pertama sekali, muat turun aplikasi SongShift dari App Store.

Pindah Lagu Spotify ke Apple Music

Selesai muat turun, buka aplikasi SongShift tersebut. Pada antaramuka ini, pilih sumber aplikasi yang anda ingin salin lagu atau album, contohnya jika daripada Spotify ke Apple Music, maka tekan pada logo Spotify. Anda dapat lihat titik hijau di bawah logo tersebut. Kemudian, pilih sama ada anda mahu salin lagu (song), senarai main (playlist) atau album. Di sini kami memilih untuk menyalin senarai main.



Seterusnya, ia akan memaparkan senarai main anda dari Spotify dan pilih mana-mana yang diingini. Bagi versi berbayar (Pro Version), anda boleh memilih beberapa senarai main sekali gus untuk diasingkan atau juga menggabungkannya pada aplikasi destinasi nanti.



Selesai pilih senarai main, kini pilih aplikasi destinasi anda. Di sini kami memilih untuk menyalin senarai main tadi ke akaun Apple Music. Di bawah "Select Destination Type", anda boleh memilih untuk mencipta senarai main tadi untuk dimasukkan ke senarai main sedia ada, senarai main baru atau sekadar di library. Kami memilih untuk mencipta senarai main yang baru di Apple Music.



Jika anda ingin menyalin lagi, maka pilih Add Another, jika tidak, tekan "I’m Finished".

Terdapat banyak cara dan aplikasi untuk melakukan pemindahan ini namun pada penggunaan kami, ini antara cara yang mudah. Setakat ini sahaja tips pada kali ini, tinggalkan maklum balas jika anda perlukan tips bagi Android pula.

Artikel ini disumbangkan oleh Aminuddin Ahmad.

Berkaitan