Cara Nak Kosongkan Telefon Dengan Selamat Sebelum Jual Kepada Orang Lain

Di saat membeli satu telefon baru, mungkin tidak terlintas di fikiran kita akan menjualnya satu hari nanti. Tetapi disebabkan kepantasan teknologi berevolusi dan juga pemasaran yang hebat dari pengeluar telefon, kita akan menukar telefon juga pada satu hari nanti - biasanya dalam tempoh 1-2 tahun.

Ketika ini, sibuklah kita untuk mengosongkan telefon lama itu supaya dapat dijual kepada orang lain. Pernah juga penulis jumpa satu telefon terpakai yang dijual di satu kedai tetapi di dalam itu masih ada data peribadi si pemilik asal, seperti kenalan dan juga gambar. Kecuaian seperti ini sangat merbahaya kerana ketirisan data peribadi ini boleh membawa masalah yang besar sekiranya berada di tangan orang yang berniat jahat.

Jadi, amatlah penting untuk kita mempunyai ilmu bagaimana untuk mengosongkan satu-satu telefon itu sebelum dijual.

Bagi pengguna iPhone

Bagi pengguna iPhone, pastikan dahulu anda memisahkan iPhone anda dengan Apple Watch. Pastikan juga data sudah di-backup di iCloud.

Selepas itu, sila log keluar dari iCloud: Pergi ke Settings kemudian tap pada kata nama anda. Selepas itu, tatal hingga ke bahagian bawah untuk menekan butang Sign Out. Selepas masukkan Apple ID dan kata laluan anda, tekan pada Turn Off dan anda selesai.

Sekiranya mahu memadamkan semua data di dalam iPhone terbabit, boleh ke Settings->General->Reset dan pilih Erase All Content and Settings.

Jangan lupa juga padamkan iMessage dan Facetime dengan Apple ID anda.

Bagi pengguna Android

Bila bercakap mengenai Android, perkara menjadi sedikit sukar. Ini disebabkan setiap telefon mempunyai 'sistem pengoperasi' mereka sendiri jadi setiap telefon mungkin mempunyai cara yang lain untuk memadam data.

Tapi secara umumnya, perkara pertama yang anda ingin pastikan adalah untuk memastikan semua data lama sudah dibackup. Kemudian, pergi ke Settings->Backup & Reset->Factory Data Reset kemudian pilih Reset Phone. Dari situ pilih Factory Data Reset dan reset telefon anda.



Selain itu, adalah dinasihati agar membuang akaun-akaun Google, Facebook atau Twitter dan lain-lain secara manual sebelum melakukan reset.

Perlu diingat bahawa setiap jenama mempunyai cara tersendiri. Seperti contoh telefon Samsung mempunyai modul keselamatan FRP yang perlu dinyahaktifkan sebelum dijual kepada orang lain. Jadi adalah baik untuk merujuk kepada tutorial/dokumentasi bagi memadam data di telefon sebelum menjual kepada orang lain.

Langkah Akhir

Selepas data dipadam, jangan lupa juga untuk menyah-kait telefon terbabit dari servis seperti Facebook, Google dan lain-lain. Untuk membuang peranti dari akaun Google, pergi myaccount.google.com, tekan pada Sign-in & security -> Device activity & notifications dan cari model yang telah anda padam tadi.

Berkaitan