Cara Mudah "Menghilangkan" Aktiviti Anda Dikesan Oleh Google

Google sudah semestinya telah menjejaki peranti anda walau dimana anda berada, apa yang anda lakukan dan aktiviti apa yang anda rancangkan. Anda mungkin tidak sedari betapa pentingnya perkara ini dan ia amat penting untuk mengambil sedikit masa tentang hal ini.

Ada dua perkara yang boleh dibincangkan disini. Pertama, jumlah data yang telah diambil Google dan apa yang mereka lakukan terhadap butiran data anda.

Google mungkin mengatakan butiran data anda digunakan untuk menyasarkan perkara-perkara yang menarik minat anda, contohnya, jika anda mencari maklumat tentang sesuatu kasut untuk kegunaan harian, kemudian anda akan terlihat beberapa iklan tentang kasut dimana-mana sahaja termasuk Facebook, Instagram atau di laman sesawang yang lain.

Jadi disini ada beberapa tips untuk mengelakkan data peribadi anda supaya tidak diceroboh lagi.

Bagi pelayar komputer, anda perlu masuk ke tetapan akaun Google, cari Data & personalisation dan terus ke Activity Control, pada ruangan ini, terdapat enam pilihan tetapan, anda mempunyai pilihan untuk un-tick apa-apa pilihan yang anda tidak mahu direkodkan.



Pada Web & App Activity, anda sudah boleh meneka hanya pada nama, seksyen ini akan merekod segala aktiviti-aktiviti pada pelayar Chrome, aplikasi dan di peranti Android anda.

Di semua bahagian itu, anda boleh memilih untuk memadam apa-apa aktiviti lama dan tidak mahu direkodkan pada masa akan datang. Anda mempunyai pilihan untuk memadam secara manual, memadam selepas 8 bulan atau 13 bulan.

Seterusnya pada Location History, yang dimana Google merekod banyak data selama anda menggunakan aplikasi Google maps atau ke mana sahaja anda perlu semasa fungsi lokasi diaktifkan.

Pada ruangan ini, anda boleh memilih Manage Activity untuk memadam apa-apa lokasi yang anda mahu dengan memilih hari, cari lokasi yang telah direkod dan tekan pada menu tiga titik untuk memadam data-data yang direkod pada hari yang anda pilih.

Di ruangan seterusnya iaitu pada Device Information yang telah merekod data dari peranti Android anda sama ada di peranti biasa atau tablet. Ia mengumpul data aplikasi dari peranti anda, contohnya contacts, calendars, apps dan data-data yang lain.

Anda boleh memilih untuk pause aktiviti itu dari direkod oleh Google yang di mana ia akan menghadkan atau menyahaktifkan data personaliti anda pada servis Google. Contohnya Google mungkin tidak dapat mengecam sesuatu nama di senarai kenalan anda.

Seterusnya, Voice & Audio Activity, pada fungsi ini disimpan segala aktiviti anda pada Google Assistant yang dimana ia akan mudah memahami perkataan yang keluar dari suara mulut anda bagi tujuan pengalaman Google Assistant yang lebih berkesan.

Anda boleh memilih untuk memadam segala aktiviti suara yang direkod atau memilih untuk memadam satu-persatu dengan hanya menekan ikon "tong sampah'" atau menu tiga titik bagi pilihan memadam satu-persatu.

YouTube Search History dan YouTube Watch History, adalah ruangan untuk anda menetap pada aktiviti di YouTube. Disini ia merekod segala aktiviti yang anda telah cari dan video yang anda tonton di YouTube.

Bagi memadam aktiviti ini, ianya sama juga seperti di ruangan Voice & Audio Activity, iaitu boleh memadam satu-persatu mengikut tarikh dan masa atau memadam semua sekali.

Selain itu, anda juga mempunyai pilihan untuk 'menghilangkan' aktiviti anda buat sementara waktu dengan tidak log masuk menggunakan akaun anda di YouTube, semasa mencari dan melayari di pelayar Google Chrome atau menggunakan ciri Incognito Mode.



Tetapi itu semua masih lagi tidak mencukupi, Google masih lagi boleh mengakses data anda dengan mengawal mesej-mesej di dalam e-mail anda bagi tujuan memperingati tarikh-tarikh penting seperti tarikh pelepasan jadual penerbangan anda, rancangan melancong anda atau bil yang perlu dibayar sebelum sampai tempoh bayaran.



Jika anda telah log masuk akaun Google anda di pelayar Google Chrome, cuba taip 'my flights', 'my trips', 'my bills' atau 'my purchases', semua keputusan itu akan muncul di ruangan carian dari akaun Gmail anda dan sudah semestinya anda sahaja yang boleh melihatnya.

Cara yang mudah untuk menghapuskan data itu hanya dengan memadam segala mesej dari akaun Gmail anda yang berkaitan dengan hal tersebut.

Pada pandangan Google, ia adalah suatu servis yang cepat dengan hanya menaip kata kunci bagi apa-apa yang berkait dengan aktiviti anda di ruangan carian, tetapi disudut lain, kita dapat lihat betapa dekatnya Google dengan aktiviti kehidupan kita hanya melalui peranti ditangan anda.



Bercakap tentang iklan, anda boleh terus ke pautan ini untuk melihat tetapan iklan anda yang telah disediakan oleh Google. Fungsi ini pada pandangan Google adalah untuk mencari iklan yang sesuai dengan minat anda.

Anda boleh menyahaktifkan fungsi ini dengan menekan butang Turn Off atau menutup fungsi itu. Tetapi anda perlu ingat, Google masih lagi memaparkan iklan dimana-mana ruangan, dengan menutup tetapan ini, sekurang-kurangnya Google tidak 'menyebuk' dari aktiviti yang anda lakukan ditalian.

Bagi peranti Android, dengan mudahnya anda boleh ke tetapan, pilih Google, disitu anda boleh mengubah tetapan pada setiap fungsi yang juga sama seperti tetapan di pelayar Google Chrome.

Bagi peranti sistem iOS, jika anda mempunyai aplikasi Google, tekan menu tiga titik dan pilih Privacy and Security bagi mengakses ruangan tetapan data terutama tetapan lokasi anda.

Akhir sekali, anda disarankan untuk mengguna fungsi Incognito Mode di pelayar Google Chrome sama ada di peranti mudah alih mahupun di komputer anda atau menggunakan pelayar selain pelayar dari Google. Terdapat juga pilihan untuk menyahaktifkan fungsi lokasi bagi memilih untuk tidak merekod lokasi atau mematikan peranti anda.

Sumber: Wired

Berkaitan