Cara Mengemas Kini Pemacu Cip Intel, AMD Dan Nvidia Secara Manual

Kemas kini memastikan komputer anda berfungsi pada tahap terbaik dan menyokong ciri terbaru yang ditawarkan pembangunnya.


Kebiasaannya, dalam kemas kini yang dilepaskan oleh Microsoft kepada para pengguna sistem operasi Windows akan turut sama mengandungi kemas kini pemacu (driver) bagi perkakasan yang ada di dalam sesebuah komputer.

Semakan kemas kini tersebut boleh saja dibuat menerusi Update & Security di bahagian Windows Update.

Kapsyen: Settings > Update & Security > Windows Update > Check for updates.


Sekiranya ada, fail kemas kini akan dimuat turun secara automatik atau pengguna boleh memilih kemas kini yang hendak dipasang pada Windows mereka.

Walaubagaimanapun,mungkin ada perkakasan komputer penting seperti cip pemprosesan dan kad grafik yang digunakan anda tidak menerima kemas kini pemacu yang sepatutnya. Jadi, anda perlu menyemak kemas kini yang ditawarkan khusus untuk perkakasan tersebut terus dari laman pembangunnya sendiri.

Kemas kini pemacu cip Intel


Jika anda menggunakan cip pemprosesan Intel untuk komputer anda, anda boleh saja memuat turun aplikasi Intel® Driver & Support Assistant (Intel® DSA). Aplikasi ini secara automatik akan membantu komputer anda mengimbas dan memastikan sentiasa menerima kemas kini terbaru yang ditawarkan Intel.


Kemas kini pemacu AMD


Jika anda pengguna cip pemprosesan dan kad grafik dari AMD pula, anda boleh ke laman AMD Drivers and Support bagi memuat turun fail kemas kini yang khusus untuk cip pemprosesan atau kad grafik AMD.


Kemas kini pemacu Nvidia


Manakala bagi pengguna kad grafik Nvidia pula, anda boleh memuat turun fail kemas kini terbaru bagi model kad grafik yang digunakan anda di laman NVIDIA Driver Downloads.


Atau...


Atau sekiranya bagi anda cara yang ditawarkan di atas sebagai melecehkan, anda boleh menggunakan aplikasi pihak ketiga seperti Driver Talent (dahulunya dikenali sebagai DriveTheLife) bagi memudahkan anda menguruskan kemas kini bagi kesemua pemacu yang diperlukan untuk perkakasan komputer Windows anda.

Kelebihan aplikasi ini adalah ia bukan sahaja mengimbas, memuat turun dan membantu anda mengemas kini perkakasan komputer anda, tetapi juga turut mampu membaik pulih pemacu perkakasan komputer anda yang bermasalah.



Cumanya, aplikasi Driver Talent ini hanya boleh digunakan dan mengakses semua ciri yang ditawarkan secara percuma dalam tempoh 30 hari sahaja. Selepas tamat percubaan tersebut, pengguna perlu membelinya pada harga USD19.95 (lesen seumur hidup).

Berkaitan