Bagaimana Pelajar B40 Boleh Dapatkan Telefon Percuma

YTL Foundation telah melancarkan program data mudah alih dan bahan pembelajaran atas talian secara percuma kepada semua pelajar yang berdaftar di sekolah kerajaan di Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan ke atas seluruh rakyat Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Program tersebut yang diwujudkan dengan kerjasama YES dan FrogAsia itu adalah bagi terus menyokong pembelajaran para pelajar yang tidak dapat ke sekolah sejak bermulanya PKP.

Selain pelan data mudah alih percuma bersaiz 40GB, murid dari keluarga B40 juga boleh mendapatkan telefon percuma dengan data bersaiz 120GB (10GB / sebulan selama 12 bulan). Ianya dibuka kepada sesiapa sahaja bagi mencalonkan murid dari keluarga B40 untuk menerima telefon percuma dengan data.

Cara mencalonkan pelajar yang layak


Berikut adalah cara untuk mencalonkan pelajar yang layak menerima telefon pintar percuma dengan data 120GB dari YTL Foundation:-

1. Dapatkan kebenaran daripada ibubapa murid yang hendak dicalonkan terlebih dahulu. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat seperti berikut:



    • Nombor MyKid/MyKad murid

    • Nombor MyKad Ibubapa

    • Status B40 ibubapa daripada portal Bantuan Prihatin Nasional (BPN)




2. Untuk mengetahui status B40 ibubapa pelajar tersebut, sila pergi ke https://bpn.hasil.gov.my/, dan masukkan nombor kad pengenalan ibubapa, kemudian klik ‘Semak’.

Kapsyen: Contoh. Kredit: YTL Foundation


3. Bagi mengesahkan jika pelajar yang dicalonkan tergolong dalam keluarga B40, status penerimaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ibubapa mereka haruslah tertera sebagai LULUS dengan jumlah bantuan bernilai RM1,600.

4. Jika LULUS, maka pencalon adalah layak untuk mengisi borang Inisiatif Belajar Dari Rumah oleh YTL Foundation.



Pada bahagian pencalonan, anda sebagai pencalon juga perlu memasukkan maklumat seperti nombor kad pengenalan dan sebagainya. Ia bertujuan untuk mengesahkan maklumat pencalon adalah tulen dan sahih serta bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Setelah pencalonan berjaya, ibubapa pelajar perlu mengemukakan pendaftaran dalam tempoh 7 hari selepas menerima notifikasi e-mel. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pendaftaran terbatal dan dianggap tidak berjaya.

Untuk maklumat lanjut mengenainya, layari laman rasmi YTL Foundation atau laman Facebook YTL Foundation.

Berkaitan