Cara Membuat Permohonan Pengeluaran i-Lestari Dari Akaun KWSP

Bagi meringankan beban kewangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan telah mengumumkan setiap ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan wang simpanan KWSP melalui fasiliti Pengeluaran i-Lestari yang telah dibuka bagi permohonan bermula 1 April 2020 sehingga 31 Mac 2021. Pengeluaran i-Lestari ini hanya efektif dalam tempoh 12 bulan bermula April 2020 sehingga 31 Mac 2021.


Sebagai contoh, jika permohonan anda diluluskan pada April 2020, anda layak untuk mengeluarkan wang simpanan dengan tempoh maksimum 12 bulan. Bagaimanapun, jika permohonan anda diluluskan pada September 2020, anda hanya layak mengeluarkan wang simpanan selama 7 bulan (September 2020 hingga Mac 2021).


Untuk lebih mudah difahami, jika permohonan anda diluluskan lebih awal, anda dapat mengeluarkan skim ini dalam tempoh lebih lama.


Setiap ahli boleh mengeluarkan wang simpanan bermula RM50 hingga RM500 sebulan, bergantung kepada amaun simpanan yang tersedia dalam akaun 2. Jika jumlah simpanan akaun kedua tidak mencukupi untuk mengeluarkan nilai simpanan yang dipohon bagi setiap bulan, pengeluaran akan diberi berdasarkan baki simpanan yang tinggal pada akaun kedua.

Sebelum membuat permohonan, perlu diingatkan anda tidak boleh mengubah amaun pengeluaran setelah permohonan dihantar dan diluluskan. Terdapat tiga cara untuk membuat permohonan sama ada secara dalam talian, e-mel atau pos. Untuk membuat permohonan Pengeluaran i-Lestari, ikuti langkah di bawah.

Dalam Talian


Terlebih dahulu, anda perlu mempunyai i-Akaun (Ahli) sebelum membuat permohonan Pengeluaran i-Lestari. Jika anda belum mendaftar akaun ini, permohonan pendaftaran i-Akaun (Ahli) boleh dilakukan melalui e-mel ke alamat [email protected] berserta dokumen sokongan seperti berikut:

  • Borang Permohonan Pendaftaran i-Akaun (Ahli) - klik di sini untuk muat turun borang; dan

  • Lampiran MyKad (depan dan belakang); dan

  • Gambar swafoto ahli bersama MyKad; dan

  • Bukti pemilikan nombor telefon ahli (contoh bil telefon, kontrak pendaftaran telefon, resit bayaran deposit) ; atau tangkapan skrin penyata yang tertera nama ahli dan nombor telefon bimbit untuk pengguna prabayar.

  • Salinan Buku/Penyata Akaun Bank Simpanan/Semasa yang aktif milik ahli


Jika pengesahan berjaya, anda akan menerima ID Pengguna dan Kata Laluan sementara melalui SMS untuk pengaktifan i-Akaun (Ahli) dan anda hendaklah mengemaskini kata laluan baharu. Setelah itu, anda boleh membuat permohonan bagi Pengeluaran i-Lestari secara dalam talian.

Permohonan Pengeluaran i-lestari kwsp

Sebagai langkah pertama, anda perlu log masuk pada i-Akaun (ahli) terlebih dahulu. Kemudian, pilih tab Pengeluaran dan di bahagian e-Pengeluaran, tekan pada Permohonan Baru.

Setelah itu, pilih jenis Pengeluaran i-Lestari dan tekan seterusnya. Pada bahagian ini, isi maklumat yang diperlukan termasuk amaun pengeluaran. Jika selesai, pergi ke bahagian seterusnya dan semak maklumat yang telah diisi. Akhir sekali, setelah berpuas hati dengan maklumat yang telah diisi, anda boleh memohon TAC untuk mengesahkan permohonan ini.

E-mel


Selain permohonan dalam talian, anda juga boleh membuat permohonan secara manual. Pada mulanya, anda perlu mencetak dan mengisi borang permohonan Pengeluaran i-Lestari yang boleh dimuat turun di sini.

Setelah itu, anda perlu mengimbas (scan) dan kemukakan borang berserta dokumen sokongan seperti di bawah serta dihantar melalui e-mel ke alamat [email protected]:

  • Borang permohonan yang lengkap diisi berserta cap ibu jari

  • Salinan kad pengenalan (depan dan belakang)

  • Salinan pasport (untuk ahli bukan warganegara Malaysia)

  • Salinan buku bank/penyata akaun bank (simpanan/semasa) ahli yang AKTIF


Perkhidmatan Pos


Seperti permohonan melalui e-mel, anda perlu mencetak dan mengisi borang permohonan Pengeluaran i-Lestari yang boleh dimuat turun di sini. Kemudian, anda perlu menghantar permohonan pengeluaran dan dokumen sokongan seperti di bawah serta dihantar melalui pos/pos berdaftar/kurier :

  • Borang permohonan yang lengkap diisi berserta cap ibu jari

  • Salinan kad pengenalan (depan dan belakang) yang jelas

  • Salinan pasport (untuk Ahli bukan warganegara Malaysia)

  • Salinan buku bank/penyata akaun bank (simpanan/semasa) Ahli yang AKTIF


Anda perlu mencatatkan (UP : i-Lestari) di hadapan sampul surat. Dokumen tersebut hendaklah dihantar ke alamat:

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Beg Berkunci No 220, Jalan Sultan 46720 Petaling Jaya.

Bagi permohonan i-Lestari yang dibuat melalui e-Pengeluaran, status permohonan boleh disemak melalui i-Akaun (Ahli). Manakala permohonan yang dibuat secara manual melalui pos/kurier/e-mel, akan menerima SMS apabila pembayaran telah dikreditkan.

Sumber: KWSP