Telegram hari ini telah melepaskan kemas kini terbaru yang membolehkan pengguna memindahkan perbualan daripada mana-mana aplikasi, termasuk WhatsApp.
Melalui cara ini, anda mungkin boleh beralih daripada WhatsApp ke Telegram dengan mengekalkan sejarah perbualan (chat history).
Bagaimanapun, perlu diketahui ciri ini hanya tersedia untuk peranti iOS sahaja buat masa ini. Untuk mengimport perbualan daripada WhatsApp ke Telegram, berikut adalah beberapa langkah yang diperlukan.
Import chat daripada WhatsApp ke Telegram
Terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti untuk mengimport sejarah perbualan daripada WhatsApp ke Telegram.
1. Pergi ke kumpulan sembang (group) di WhatsApp dan tekan pada “Group Info”.
2. Tatal ke bawah dan tekan pada “Export Chat”. Pilih sama ada mahukan media atau tanpa media.
3. Setelah selesai melakukan proses eksport, pilih aplikasi Telegram untuk memindahkan sejarah perbualan.
4. Anda akan dibawakan ke tetingkap aplikasi Telegram. Pada bahagian ini, Telegram akan bertanya di mana anda mahu mengimport mesej tersebut. Anda boleh memilih untuk memindahkan ke Saved Messages, kumpulan baru atau mana-mana ruang sembang. Setelah pasti, tekan pada “Import”.
5. Proses mengimport mesej akan mengambil sedikit masa. Anda juga perlu mengekalkan tetingkap dibuka dalam tempoh tersebut.
Setelah semua mesej berjaya diimport, ianya akan dipaparkan dalam group atau ruang sembang di Telegram. Sebagai tambahan, perbualan tersebut juga akan ditandakan sebagai “Imported”.
Selesai. Semoga bermanfaat.