Ciri Perlindungan Peranti Dicuri Diperkenal Dalam iOS 17.3, Ini Cara Aktifkan

Dalam kemas kini iOS 17.3 yang dikeluarkan hari ini, Apple telah memperkenal beberapa ciri baharu, termasuk Stolen Device Protection atau Perlindungan Peranti Dicuri.

Melalui Perlindungan Peranti Dicuri, ia memberikan satu lagi lapisan keselamatan apabila iPhone berada di luar lokasi biasa. Lokasi biasa termasuk rumah, tempat kerja dan lokasi lain di mana pengguna kerap menggunakan iPhone berkenaan.

Ia membantu melindungi akaun dan maklumat peribadi pengguna, terutamanya dalam situasi sekiranya iPhone dicuri, hilang dan sebagainya.

{suggest}

Perlindungan Peranti Dicuri


Apabila mengaktifkan Perlindungan Peranti Dicuri, sesetengah ciri dan tindakan memerlukan keselamatan tambahan sekiranya iPhone berada jauh dari lokasi biasa.

  • Pengesahan biometrik Face ID atau Touch ID: Beberapa tindakan seperti mengakses kata laluan dan kad bank yang disimpan memerlukan pengesahan biometrik tunggal dengan Face ID atau Touch ID — tanpa alternatif kod laluan atau sandaran — supaya hanya pengguna yang boleh mengakses ciri ini.

  • Security Delay (Penundaan Keselamatan): Sesetengah tindakan keselamatan seperti menukar kata laluan Apple ID perlu menunggu sejam dan kemudian melakukan pengesahan Face ID atau Touch ID kedua.


Dalam situasi sekiranya iPhone dicuri, ciri penundaan keselamatan direka untuk menghalang pencuri daripada membuat perubahan kritikal serta membolehkan pengguna sempat menandakan peranti sebagai hilang dan memastikan akaun Apple selamat.

Namun, sekiranya iPhone berada di lokasi biasa, langkah tambahan ini tidak diperlukan dan pengguna boleh menggunakan kod laluan peranti seperti biasa.

Cara aktifkan Perlindungan Peranti Dicuri


Perlindungan Peranti Dicuri tersedia dengan iOS 17.3 dan perlu diaktifkan sebelum peranti hilang atau dicuri.

Untuk mengaktifkannya, ia memerlukan pengesahan dua faktor untuk Apple ID dan aktifkan terlebih dahulu kod laluan peranti, Apple ID atau Face ID, Find My dan Location Services (Significant Locations).

Kemudian, aktifkan ciri Perlindungan Peranti Dicuri melalui Settings > Face ID & Passcode > masukkan kod laluan > Turn On Protection.



Untuk mematikan ciri ini, ikut langkah yang sama. Akan tetapi, pastikan berada di lokasi biasa, atau sebaliknya perlu menunggu sejam untuk penundaan keselamatan.

Selain itu, pastikan juga ciri Perlindungan Peranti Dicuri dimatikan sebelum menjual, memberi atau menukar iPhone.

Sumber: Apple