Seminggu yang lepas, Google telah mengumumkan secara rasmi sistem operasi mereka yang terbaru, Android 12. Kalau anda nak tahu, Google menyatakan kehadiran sistem kali ini bukan sahaja merubah angka dari 11 ke 12, malah ia dikatakan sebagai perubahan yang besar dalam sejarah sistem operasi berkenaan. Ditambah pula dengan antaramuka yang lebih kemas dan cantik.
Buat masa sekarang ia masih lagi ditawarkan dalam bentuk beta dan bagi tempoh percubaan ini, tidak semua peranti mempunyai akses kepada versi tersebut. Senarai peranti yang menyokong Android 12 Beta adalah seperti berikut:
Google – Pixel 3, Pixel 3XL, Pixel 3a, Pixel 4, Pixel 4XL, Pixel 4a, Pixel 4a 5g, Pixel 5
Asus – Zenfone 8
Nokia – X20
OnePlus – OnePlus 9, OnePlus 9 Pro
OPPO – Find X3 Pro
realme – realme GT
Xiaomi – Mi 11, Mi 11 Ultra, Mi 11i, Mi 11X Pro
ZTE – ZTE Axon 30 Ultra
vivo – iQOO 7 Legend
TCL – TCL 20 Pro
TCL – TCL 20 Pro
Tecno – Tecno Camon 17
Sharp – maklumat peranti tidak dinyatakan
Kami berkesempatan untuk mencuba beberapa fungsi menarik pada Android 12 bagi tempoh lebih kurang seminggu. Tetapi sebelum itu, anda ingat kali terakhir Google gunakan nama manisan pada Android?
Ya, tahun 2018 sewaktu memperkenalkan Android 9 Pie. Bermula pada 2019 mereka mengambil keputusan untuk letakkan nama Android 10 sahaja. Senang, mudah ingat.
Pun begitu, sudah menjadi tradisi mereka untuk memberi nama manisan kepada setiap sistem operasi yang dibangunkan. Nama ini hanya digunakan untuk urusan dalaman sahaja. Sekiranya Android 10 dipanggil sebagai Quince Tart, Android 11 dengan nama Red Velvet Cake, Android 12 pula digelar sebagai Snow Cone.
Material Design
Masih ingat dengan Material Design? Sekarang Google tidak lagi guna nama ini dan tukarkannya kepada Material You. Senang cakap ia lenggok rekaan yang membolehkan pengguna mengubahsuai mengikut citarasa masing-masing.
Ini termasuklah dari segi warna, tema, wallpaper dan sewaktu dengannya. Perkara pertama yang kita perasan setelah naik taraf adalah bahagian Quick Settings.
Tiada lagi ikon bulat-bulat yang biasa kita lihat, dimana ia kini direka dengan bentuk petak dan disusun secara bersebelah. Kalau dibandingkan dengan Android 11, sekali kita tatal (swipe) segala butang akan kelihatan sebab ia lebih kecil, tetapi tidak pada Android 12. Ikon dilihat memakan ruang namun masih kemas.
Pelaras kecerahan pun semakin besar dan tidak perlu lagi meraba-raba sebelum ini. Begitu juga dengan pelaras kelantangan bunyi, kali ini ia nampak lebih tebal macam dalam MIUI 12. Satu perkara remeh yang mungkin menarik adalah, apabila disentuh pada pelaras, ia akan dilaras mengikut jari. Jika di MIUI 12, anda perlu leret dari atas dan kebawah barulah pelaras itu ikut.
Satu lagi perkara boleh kita tengok pada animasi antaramuka itu sendiri. Jika sebelum ini Android guna kesan glowing, sekarang ia sudah diadaptasi kepada kesan melantun. Animasi ini bersifat universal, bermaksud ia tidak terhad pada tetapan sistem malah boleh dilihat pada aplikasi lain seperti Twitter, Facebook, Instagram dan lain-lain lagi.
Skrin kekunci dan AOD
Bila tiada notifikasi masuk, jam digital akan terpapar dengan besarnya. Hampir 1/3 dari paparan. Sekiranya notifikasi masuk, jam berubah kecil dan ditempatkan pada sebelah kiri atas disertai dengan ikon notifikasi kecil dibawahnya.
Apa yang kami perasan adalah animasi peralihan antara skrin kekunci (lock skrin) kepada Always on Display (AOD) sangat lancar dan kemas. Cukup berbeza dengan animasi peralihan sistem antaramuka yang lain dimana skrin akan gelap terlebih dahulu sebelum bertukar kepada AOD.
Mod satu tangan
Telefon dari masa ke masa semakin besar dan memanjang. Satu fungsi yang perlu ada untuk situasi ini adalah mod satu tangan untuk memberi keselesaan sepanjang penggunaan.
Ia mungkin bukan ciri tumpuan pada Android 12 sangat berguna. Untuk aktifkannya anda perlu pergi ke Settings > System > Gestures > One-Handed Mode. Tarik pada bar
Selepas itu, leret kebawah pada bar navigasi, paparan bahagian atas akan diturunkan ke separuh skrin, memudahkan capaian jari pada butang-butang yang terletak dipenjuru layar. Kebanyakan sistem antaramuka sudah menyediakan fungsi seperti ini. Malah, pengguna iOS sudah lama menikmati ciri tersebut.
Rupa paras tetapan serba baru
Visual tetapan tampak kemas dimana Google buang segala penerangan dan status bagi setiap kategori dalam Settings. Font dan ikon semakin besar, profil bagi akaun Google pun sudah diasingkan daripada bahagian Search.
Pengurusan Widget lebih teratur
Widget pada Android 12 lebih mudah dicari sebab sistem sekarang utamakan aplikasi dahulu. Kalau anda ingat dengan sistem operasi sedia ada, bukan main bersepah lagi nak cari widget untuk aplikasi.
Android 12 turut sediakan lebih banyak stock widget, bermaksud dari Google sendiri. Bukan biasa-biasa, tetapi dari jenis interaktif dan boleh disesuaikan dengan warna dan tema dari Material You.
Walaupun begitu, ia belum muncul lagi dalam versi Beta kali ini. Mungkin Google akan bawa keluar untuk versi Beta seterusnya.
Peningkatan prestasi
Google menjanjikan peningkatan prestasi Android 12 yang lebih laju dan jimat bateri. Lebih kurang 22% masa proses CPU akan dikurang dan ini membawa maksud peranti lebih laju dan lebih responsif.
Telefon yang menjalankan Android 12 juga akan jimat tenaga disebabkan ia kurang guna teras CPU. Jadinya telefon tidak perlu bekerja keras. Sepanjang penggunaan Android 12 ini, kami boleh katakan ia tidak terasa berat dan lancar sepanjang masa.
Kesimpulan
Itulah sedikit sebanyak yang boleh kami kongsikan tentang Android 12. Bukan sahaja dari segi visual, bahagian dalaman seperti privasi, sekuriti dan juga prestasi turut menampakkan tambah baik yang lebih ketara.
Banyak lagi yang boleh diceritakan mengenai perubahan pada Android 12, tetapi yang disenaraikan diatas merupakan sebahagian yang ketara apabila anda mula menggunakan sistem operasi ini.
Pada pengguna siri Pixel, anda mungkin rasakan naik taraf yang lebih segar. Boleh kata macam guna telefon baru. Tidak seperti Android 10 kepada Android 11.
Perlu diingatkan, Android 12 sekarang ini bukan versi akhir. Google mungkin akan tambah atau buang ciri yang ada padanya. Mengikut jadual yang Google telah tetapkan, versi akhir Android 12 akan dilepaskan sekitar Ogos keatas.