Canon Memperkenalkan EOS 200D (Rebel SL2)- DSLR Murah Untuk Newbies

Baru-baru ini Canon telah memperkenalkan model kamera baru dalam barisan DLSR mereka yang memfokuskan kepada pengguna baru. EOD 200D atau nama lainnya Rebel SL2 merupakan kamera entry-level, menggantikan model sebelumnya EOS 100D.

Antara yang paling menarik perhatian kami, kamera ini dimuatkan dengan cip pemprosesan imej DIGIC 7 terbaru yang digunakan oleh model kelas semi-pro seperti EOS 70D, 77D dan model mirrorless EOS M5 dan M6.



Bersama dengan DIGIC 7, yang didakwa Canon merupakan pemproses terpantas dari segi ciri autofokus ketika ini, dan pada pengamatan kami EOS 200D tidak kelihatan seperti kamera beginner. Dengan kadar ISO setinggi 25,600, ianya membantu mengurangkan pergerakkan yang kabur disebabkan kelajuan shutter yang rendah (5 fps-burst mode) seperti di kawasan kurang cahaya seperti dalam indoor.

Ianya dipasangkan dengan sensor CMOS APS-C sebesar 24.2-Megapiksel yang membantu pengguna mengambil gambar berkualiti tinggi  dan tajam disamping fleksibeliti untuk crop gambar tanpa merosakkan kualitinya.

Pengguna dapat menggunakan ciri autofokus yang laju semasa Live View dan rakaman video, dengan sensor Dual Pixel CMOS-AF. Ciri seperti Live View Servo AF membantu pengguna untuk menjejak objek yang bergerak supaya sentiasa dalam fokus (9 titik autofokus). Kualiti video mungkin boleh dipertingkatkan jika pengguna menggunakan lensa STM yang lebih hebat.

Dengan paparan skrin LCD sentuh yang boleh digerakkan mengikut sudut kegemaran, memudahkan pengguna untuk merakam video HD (60fps) semasa rakaman dalam pergerakkan. Tiada rakaman 4K, yang tidaklah menjadi isu buat masa sekarang.

Pengguna juga boleh terus menyambungkan dengan peranti pintar untuk dimuatnaik ke media sosial dengan ciri Wi-Fi dan NFC, menggunakan aplikasi Canon Image Gateaway dan Canon Camera untuk penggunakan yang lebih meluas.



Dalam langkah untuk menarik pengguna telefon pintar, Canon juga menambah Selfie Mode dengan pilihan latar belakang kabur dan melicinkan wajah muka seperti yang dipamerkan oleh kesemua telefon pintar ketika ini. Dan yang menariknya, harga EOS 200D ini sama taraf dengan harga sebuah telefon pintar di pasaran ketika ini iaitu $549 (RM2361) tidak termasuk kit-lens.



Dilihat EOS 200D bakal menjadi rebutan terutamanya pada vlogger dan pengguna baru DLSR. Harga yang murah untuk keupayaan yang agak tinggi untuk sebuah kamera DLSR.

Bila nak masuk Malaysia ni, tak sabarnya!